Gangguan bekalan air bakal selesai
JOHOR BAHRU - Masalah gangguan bekalan air yang mengakibatkan ribuan pemegang akaun SAJ Ranhill di sekitar Kulai dan Johor Bahru dijangka selesai dalam tempoh terdekat ini.
Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, masalah tersebut telah memasuki fasa terakhir untuk pemulihan sepenuhnya bekalan air seperti sedia kala.
Menurutnya, beberapa kawasan juga sudah dilaporkan mula mendapat bekalan air dan diyakini akan disusuli oleh kawasan lain dalam masa terdekat secara berperingkat.
"Buat sementara masa saya mohon maaf kepada semua pengguna yang terjejas akibat tindakan sebuah syarikat yang tidak bertanggungjawab mencemarkan Sungai Sayong dan Sungai Johor.
"Ia mengakibatkan paras ammonia yang terlalu tinggi lalu memaksa semua loji utama di Sungai Johor terpaksa dihentikan operasinya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Jimmy berkata, selepas tiga hari kerja-kerja pembersihan dilakukan tahap ammonia di semua sungai berkenaan telah menurun kepada aras yang boleh diterima untuk loji-loji rawatan air berfungsi.
"Kita masih meneliti perkara ini. Saya akan beri butiran lanjut selepas terimanya. Cuma buat masa ini kita dapati masih terdapat 70,000 pemegang akaun air SAJ Ranhill yang masih terjejas," katanya.
Terdahulu, kira-kira 17,000 pengguna sekitar kawasan Kulai mengalami gangguan bekalan air ekoran pencemaran ammonia yang berlaku di Sungai Sayong.
Difahamkan, pencemaran itu berlaku akibat kandungan ammonia yang dilepaskan dari pusat bio komposit bersebelahan sebuah kilang kelapa sawit di Sedenak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!