Siap siaga hadapi bah besar

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RAMALAN Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai bencana banjir besar yang dijangka melanda beberapa negeri pada November ini seharusnya menjadi penggera amaran kepada semua pihak, baik kerajaan mahupun rakyat.

Tempoh tidak sampai dua bulan dari sekarang adalah fasa kritikal untuk kita membuat persiapan menghadapi banjir. Kerajaan harus memastikan pusat-pusat pemindahan banjir, stok makanan dan pengangkutan telah bersedia sepenuhnya.

Kita tidak mahu insiden banjir besar di Lembah Klang hujung tahun lalu berulang, yang menyaksikan kerajaan dipersalahkan kerana lambat memberi bantuan gara-gara tidak menyangka bencana itu berlaku.

Selain Selangor, negeri Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan dan Sabah turut dilanda banjir Disember lalu dengan angka korban sekurang-kurangnya 54 orang. Kerajaan menganggarkan kerugian akibat banjir di 50 daerah itu mencecah RM6.5 bilion.

Jabatan Perangkaan Malaysia menyebut kerugian melibatkan tempat kediaman adalah sebanyak RM1.2 bilion hingga RM1.4 bilion, premis perniagaan RM500 juta hingga RM600 juta, kenderaan RM1.0 bilion hingga RM1.3 bilion, pertanian RM40.9 juta hingga RM49.9 juta, pembuatan RM800 juta hingga RM1.0 bilion serta aset awam dan infrastruktur berjumlah RM2.0 bilion.

Dalam tempoh sedekad lalu, negara juga telah mengalami beberapa kejadian banjir besar. Walaupun luas kawasan yang mengalami banjir kira-kira 29,000 kilometer persegi sahaja atau sembilan peratus daripada keluasan negara ini, lebih 2.7 juta penduduk negara terlibat dengan banjir, menurut Jabatan Pengairan dan Saliran.

Justeru, kita sangat mengalu-alukan mesyuarat bersama yang diadakan hari ini melibatkan semua agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi membincangkan persediaan menghadapi bencana banjir, seperti dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

Kelemahan pengurusan bencana di seluruh negara perlu dijadikan iktibar dan diperbetulkan bersama-sama. Permainan tuding-menuding mencari salah siapa ketika mangsa banjir terkapai-kapai menghadapi kesan banjir harus dihentikan. Tidak salah mencari punca sebenar banjir dan mencari jalan penyelesaiannya tetapi fokus utama kerajaan tentulah memastikan rakyat dapat dibantu, sekali gus meringankan bebanan ditanggung mereka.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, kesedaran dan pengetahuan orang ramai menghadapi bencana alam juga penting berikutan kesannya terhadap kehidupan harian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!