Tangguh pinda Akta Kerja 1955 wajar

Penangguhan ini hanya bersifat sementara dan perlu dilihat sebagai usaha jangka panjang kerajaan untuk menjaga kebajikan pekerja. -Foto 123rf
Penangguhan ini hanya bersifat sementara dan perlu dilihat sebagai usaha jangka panjang kerajaan untuk menjaga kebajikan pekerja. -Foto 123rf
A
A
A

KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) baru-baru ini memaklumkan kerajaan bersetuju menangguhkan penguatkuasaan Akta Kerja 1955 (pindaan) 2022 daripada 1 September 2022 kepada 1 Januari 2023. Keputusan ini dicapai hasil perbincangan beberapa kementerian yang menjaga kepentingan golongan pekerja, industri dan ekonomi secara amnya seperti KSM, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Kewangan.

Pindaan akta ini antara lain melibatkan penambahan cuti bersalin daripada 60 ke 98 hari, penetapan cuti paterniti dinaikkan daripada tiga hari kepada tujuh hari, pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam serta aturan kerja fleksibel.

Menurut KSM, penangguhan ini diputuskan selepas mengambil kira permintaan daripada pihak industri yang rata-rata mahukan tempoh masa lebih panjang untuk melaksanakan pindaan tersebut, mengambil kira situasi ekonomi semasa masih dalam fasa pemulihan. Kekurangan tenaga kerja khususnya pekerja asing yang dihadapi pihak syarikat adalah antara sebab utama penangguhan ini dibuat. Tempoh masa empat bulan akan datang dilihat munasabah untuk majikan mengatasi masalah tersebut dengan sokongan KSM.

Umum mengetahui kebanyakan syarikat masih belum beroperasi dalam kapasiti penuh. Ada yang terpaksa membatalkan atau mengurangkan pesanan pelanggan disebabkan kekurangan pekerja asing. Pelaksanaan pindaan akta ini juga akan mempunyai implikasi kewangan dari aspek kos operasi kepada syarikat yang sudah pun terbeban dengan penguatkuasaan dasar gaji minimum RM1,500 bermula 1 Mei 2022. Penangguhan ini juga bertujuan memberikan tempoh masa dan ruang secukupnya kepada majikan membuat persediaan rapi terutama aspek pengubahsuaian ke atas sistem kerja sedia ada dan peraturan-peraturan berkaitan selaras dengan pindaan dalam Akta Kerja 1955.

Penangguhan penguatkuasaan ini pada saat-saat akhir bagaimanapun tidak menggembirakan kesatuan sekerja dalam pelbagai industri dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) serta golongan pekerja itu sendiri. Kerajaan dikatakan memberikan keutamaan kepada permintaan majikan berbanding dengan menjaga kebajikan pekerja. Kerajaan dalam pada itu berpendirian ia perlu berlaku adil kepada semua pihak dan mengambil kira pelbagai faktor dalam keputusan yang dibuat agar satu situasi menang-menang dapat dicapai.

Media baru-baru ini melaporkan negara memerlukan hampir 1.2 juta pekerja dalam pelbagai industri dan kemasukan seramai 47,000 pekerja asing setakat ini. Sudah tentu tidak mencukupi untuk menampung keperluan tersebut. Namun, situasi ini dijangka bertambah baik dalam tempoh beberapa bulan akan datang selaras dengan komitmen diberikan KSM untuk mempercepatkan proses kemasukan pekerja asing ke negara ini.

Justeru, penangguhan sementara pelaksanaan akta yang dipinda ini adalah wajar. Namun, kerajaan perlu mengotakan janjinya untuk menguatkuasakan pindaan tersebut menjelang Januari 2023 dan tidak lagi membuat penangguhan lagi pada masa hadapan. Pihak majikan pula diharap memberi fokus untuk melaksanakan pindaan secara sistematik dan bersedia penuh. Desakan dan permohonan untuk penangguhan kali kedua perlu dielakkan kerana ia akan mengecewakan golongan pekerja yang menanti penuh harapan pelaksanaannya.

Menjelang Januari 2023, kerajaan juga perlu terus mempergiatkan dan mempercepatkan usaha-usaha membawa masuk pekerja asing dari negara negara sumber yang diluluskan. Proses dan prosedur permohonan pekerja asing perlu dipermudahkan agar syarikat tidak berhadapan dengan masalah mendapatkan pekerja asing.

Artikel Berkaitan:

Golongan pekerja dan kesatuan sekerja dalam industri berkaitan juga diharap dapat bersabar sedikit sehingga tarikh baru pelaksanaan seperti dijanjikan kerajaan. Penangguhan ini hanya bersifat sementara dan perlu dilihat sebagai usaha jangka panjang kerajaan untuk menjaga kebajikan pekerja.

Ini kerana, majikan yang bersedia sepenuhnya akan memastikan semua pindaan dilaksanakan dengan sebaiknya, seterusnya menguntungkan pekerja.

*Profesor Madya Dr Subramaniam Sri Ramalu, Pengajian Pengurusan Perniagaan Universiti Utara Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!