Air pasang besar: Limpahan kecil berlaku di Klang
KLANG - Berlaku limpahan kecil di beberapa kawasan terutama jeti di daerah Klang berikutan fenomena air pasang besar pada pagi Isnin.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, terdapat kawasan rendah turut dinaiki air akibat fenomena berkenaan.
Bagaimanapun beliau berkata, keadaan masih terkawal dan tidak menjejaskan penduduk sekitarnya.
"Limpahan air berlaku di beberapa kawasan di Klang, tapi 0.15 hingga 0.18 meter sahaja. Keadaan masih terkawal dan air terus surut," katanya pada Isnin.
Sementara itu, Norazam turut melaporkan paras air di kawasan titik panas lain yang berpotensi banjir akibat fenomena air pasang besar berada dalam keadaan terkawal.
Pada Sabtu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Klang mengingatkan penduduk di daerah ini agar peka dengan fenomena air pasang besar yang bakal melanda pada bulan ini hingga Disember depan.
Perkara tersebut dimaklumkan menerusi satu hantaran di Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!