Skuad muda negara bawa misi besar di Mongolia
SKUAD bawah 19 (B-19) tahun negara memasang impian besar untuk menjejakkan kaki ke Piala Asia tahun depan, biarpun bakal berdepan saingan sengit pada pusingan kelayakan di Mongolia minggu ini.
Skuad bimbingan Hassan Sazali Waras itu diundi dalam Kumpulan E bersama gergasi Asia, Korea Selatan selain Sri Lanka dan pasukan tuan rumah, Mongolia.
Bukan misi mustahil, skuad muda negara perlu muncul juara kumpulan untuk meloloskan diri ke Piala Asia 2023.
Ia berdasarkan format kelayakan, hanya juara daripada setiap 10 kumpulan akan layak secara automatik, manakala lima lagi slot diberikan kepada lima naib juara terbaik selain Uzbekistan yang layak selaku tuan rumah.
Justeru, Hassan sudah merangka strategi ampuh dengan misi wajib menang dua perlawanan awal bertemu Mongolia dan Sri Lanka, selain sekurang-kurangnya seri dengan Korea Selatan.
Beliau memberitahu, bagi melayakkan diri secara merit, skuad muda negara perlu meraih maksimum sembilan mata termasuk meraih kemenangan ke atas Korea Selatan.
Bagaimanapun misi awal beliau ialah mendapatkan dua kemenangan awal terlebih dahulu iaitu ke atas pasukan tuan rumah dan Sri Lanka.
"Sasaran saya sebolehnya adalah maksimum sembilan mata untuk kita layak secara merit, perancangan saya adalah untuk mendapatkan dua kemenangan awal menentang Mongolia dan Sri Lanka.
"Aksi dengan Korea Selatan, saya harap kita mampu sekurang-kurangnya seri supaya peluang kita untuk ke peringkat seterusnya lebih cerah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebelum berlepas ke Mongolia dari Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur, Sepang pada Ahad.
Mengulas cuaca sejuk di Mongolia, Hassan berharap anak-anak buahnya dapat menyesuaikan diri dengan baik.
Suhu di Mongolia ketika ini sekitar 10 hingga 17 darjah celsius.
Skuad negara akan memulakan aksi menentang Mongolia di Stadium MFF, Ulaanbaatar pada Rabu, disusuli Sri Lanka (Jumaat) sebelum berdepan cabaran Korea Selatan (Ahad).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!