Sanggup tinggal gaji lima angka demi bergelar usahawan
KEMAMAN - Bekas pekerja pelantar minyak nekad meninggalkan kerjaya biarpun menerima gaji lumayan demi mengubah haluan bergelar seorang usahawan.
Shahrul Izuan Mohammed, 34, berkata, keputusan berhenti kerja terpaksa dibuat selepas sektor berkenaan dilihat mula goyah akibat pandemik Covid-19.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu mula mengeluarkan produk yang dikenali Sos Perap Nas selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
"Ketika itu sektor minyak dan gas mula goyah, ramai hilang kerja termasuk rakan-rakan saya yang bekerja dalam sektor ini terpaksa diberhentikan kerja.
"Melihat keadaan itu, saya mula berfikir untuk mengubah haluan dan memikirkan arah tuju baharu," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Shahrul Izuan berkata, pada mulanya dia hanya hasilkan kambing dan puyuh perap untuk jualan di sekitar daerah Kemaman serta mendapat sambutan menggalakkan.
"Bermula dari situ, saya nekad untuk berhenti kerja dan menghasilkan sos perap sebagai sumber utama pendapatan keluarga.
"Saya mengambil masa lebih setahun untuk mengolah resipi dan menghasilkan dua variasi sos perap iaitu berperisa pedas dan asli," katanya yang berasal dari Kampung Binjai, di sini.
Dia yang sebelum ini berpendapatan lima angka berkata, pada awalnya agak kekok dan tidak biasa mengendalikan perkakasan dapur.
Namun, katanya, berkat dorongan isteri, Nurul Ain Bidin, 33, dia kini mampu menghasilkan lebih 300 paket sos perap sehari bergantung kepada permintaan.
"Buat masa ini, saya menjual sos perap dengan harga RM6 untuk satu peket kecil secara dalam talian dan di sekitar pasaran daerah Kemaman.
"Saya menaruh harapan untuk meluaskan lagi pasaran sos perap sehingga ke luar daerah dan luar negeri selain turut merancang mengeluarkan beberapa lagi produk makanan lain," jelasnya.
Ditanya kekangan yang dihadapi dalam menghasilkan sos perap, Shahrul Izuan berkata, kuantiti produk dihasilkan terhad kerana pembuatannya secara manual.
"Saya kini berusaha mendapatkan bantuan daripada agensi yang boleh membantu mengembangkan lagi perniagaan disebabkan kekangan untuk menghasilkan lebih banyak sos perap kerana tidak mempunyai mesin.
"Proses menghasilkan sos perap mengambil masa kira-kira enam jam setiap hari melibatkan kerja-kerja memasak dan membungkus. Semua itu dilakukan secara manual," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!