LTAM 'bernafas' semula selepas tiga tahun tidak beroperasi
MELAKA - Penerbangan domestik dan penerbangan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) beroperasi semula selepas pesawat dari kedua-dua lokasi selamat mendarat di lapangan terbang itu pada Isnin.
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, LTAM yang sebelum ini digantung operasi kerana pandemik Covid-19 kini beroperasi kembali selepas menerima pelancong melalui penerbangan dari Pulau Pinang serta penerbangan antarabangsa melalui penerbangan dari Pekanbaru, Indonesia dengan jumlah hampir 200 orang menggunakan lapangan terbang tersebut dalam sehari.
Menurut beliau, penerbangan ini memberi gambaran bahawa sektor pelancongan negeri semakin bernafas biarpun berdepan dengan isu kekurangan tenaga buruh dalam industri berkenaan.
Katanya, perkembangan itu memberi semangat kepada pemain industri untuk berusaha menarik pelancong dalam dan luar negara dan tidak hanya bergantung kepada pelancong dari negara Asia Timur seperti China, Taiwan dan Jepun.
"Ini adalah penerbangan pertama tiba di LTAM setelah hampir tiga tahun tidak beroperasi dan hasil usaha perancangan termasuk Perdana Menteri membenarkan pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu.
"Kita dapat bekerjasama dengan kerajaan Indonesia bermula 1 April itu dan akhirnya penerbangan kedua-dua negara ini dapat direalisasikan dalam tempoh empat bulan," kata beliau.
Muhammad Jailani berkata demikian pada sidang akhbar ketika sambutan penerbangan pertama pesawat Batik Air ke Melaka di LTAM Batu Berendam di sini, pada Isnin.
Ujar beliau, selepas ini pihaknya menyasarkan untuk bekerjasama dengan negara Brunei bagi mewujudkan laluan penerbangan ke negara itu secara tidak langsung merancakkan lagi sektor pelancongan.
Muhammad Jailani yakin usaha ini dapat memperkasakan pelancongan kesihatan dan keluarga dengan memberi tumpuan kepada laluan baharu agar hotel-hotel di negeri ini sentiasa dipenuhi pelancong tanpa mengira musim cuti persekolahan.
"Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini Melaka merekodkan jumlah kemasukan pelancong seramai 2.4 juta orang.
"Ini menunjukkan peningkatan seramai 1.7 pelancong atau lebih 200 peratus dalam tempoh sama berbanding tahun lalu," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!