POPIC 2022: Juara dunia iktiraf penganjuran terbaik
PAHANG Ocean Paddle International Challenge (POPIC) 2022 adalah kejohanan kanu laut terbaik pernah dianjurkan di dunia!
Kenyataan itu bukan diucapkan oleh sebarangan orang tetapi oleh juara dunia empat kali Dawid Mocke yang merasai sendiri pengalaman bersaing dalam perlumbaan yang pertama kali dianjurkan di rantau ini setelah sebelum ini jaguh dari Afrika Selatan itu banyak bertanding di tempat lain terutama di Eropah.
“Saya telah berlumba selama 32 tahun. Saya telah memenangi lebih daripada 30 kejohanan di seluruh dunia. Namun dari segi penganjuran di Pahang ini adalah yang terbaik.
“Saya bukan memuji untuk ‘menyedapkan’ hati penganjur tetapi ini adalah hakikat. Penganjuran kejohanan ini sangat teratur dan dibuat secara besar-besaran di pantai-pantai yang cantik. Apa yang saya lihat selama lima hari bertanding di sini adalah Malaysia mempunyai banyak pantai yang cantik dan sesuai untuk penganjuran perlumbaan kanu laut.
“Setiap hari kita berpindah ke pantai baharu, bermakna kita dapat melihat tempat baharu, mengenali budaya dan cara hidup baharu,” kata juara acara lelaki bagi kategori utama Open International Single Ocean Race itu.
Mocke, 45, juga teruja untuk kembali ke sini jika kejohanan ini diadakan tahun hadapan.
“Penganjur telah meletakkan penanda aras yang sangat tinggi kepada sesiapa yang mahu menganjurkan kejohanan seperti ini. Jadi, sudah tentu saya akan kembali ke sini jika kejohanan ini diadakan tahun hadapan,” kata juara dunia 2009, 2010, 2011 dan 2012 dari Afrika Selatan itu lagi.
Dari segi kepentingan perlumbaan ini kepada komuniti peminat kanu laut, Mocke berkata, peserta luar negara akan mendapat pengalaman baharu bersaing dalam suasana dan cabaran berlainan, manakala bagi Malaysia pula sudah tentu boleh menggunakannya untuk mengasah bakat dan menarik lebih ramai peserta untuk menyertai sukan ini.
POPIC 2022 dianjurkan di lima lokasi di Pahang iaitu Pantai Hiburan, Rompin, diikuti di Pantai Legenda, Pekan dan Pantai Balok, Pantai Cherating dan Teluk Cempedak di Kuantan.
Antara peserta yang mengambil adalah dari Afrika Selatan, Australia, New Zealand, Mesir, Taiwan, Indonesia, Thailand dan Malaysia.
Juara wanita Danielle McKenzie juga senada dengan Mocke yang berkata kejohanan ini adalah yang terbaik di dunia dari segi penganjuran.
Katanya, sebagai contoh apabila peserta tiba di pantai kanu mereka terus dibawa ke tempat lain oleh petugas kejohanan dan tidak mengganggu laluan pendayung lain.
“Ini sangat membantu kami kerana kanu surfski bukannya ringan,” jelasnya.
Penyandang juara dunia dari New Zealand itu menjangkakan penganjuran kejohanan ini akan menjadi lebih baik jika diadakan lagi pada tahun hadapan kerana penganjur pastinya telah mendapat pengalaman dan akan memikirkan cara untuk menjadikannya lebih hebat lagi.
“Saya pasti akan datang lagi. Selepas ini saya akan bertanding di Eropah, sudah pasti saya akan memberitahu kepada peserta lain mengenai pengalaman bertanding dan betapa hebatnya kejohanan di sini,” ujar pendayung yang berpangkalan di Gold Coast, Australia itu
McKenzie, 28, muncul juara dunia pada 2019 dalam percubaan pertamanya menyertai kejohanan itu. Kejohanan dunia seterusnya tidak dapat diadakan apabila seluruh dunia berdepan pandemik Covid 19.
Di Gold Coast, dia berlatih setiap hari bersama Kent Jenkinson dan MacKenzie Hynard, yang muncul naib juara dan pemenang tempat ketiga acara lelaki Open International Single Ocean Race di belakang Mocke.
Sementara itu, antara peserta tertua Dr Benjamin Hewitt pula berharap kejohanan ini diteruskan pada masa hadapan dan berjanji untuk membawa seorang lagi anak lelakinya untuk menyertai kejohanan ini.
“Saya pernah melancong ke Langkawi tetapi disebabkan kejohanan ini saya datang ke Pahang. Pantainya lebih cantik dan lebih panjang dan sesuai untuk diadakan perlumbaan kanu.
“Bagi saya kejohanan ini sangat spektakular, penganjur telah membuat kerja mereka dengan sangat bagus. Penganjuran kejohanan ini sangat teratur,” kata pakar ortopedik dari Perth, Australia itu yang hadir bersama isteri dan seorang anak lelakinya yang turut bertanding dalam kategori utama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!