Selangor kenal pasti lapan projek perumahan 'sakit'
KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor mengenal pasti lapan projek perumahan 'sakit' di negeri ini yang memerlukan perhatian serius dan ditangani segera.
Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, daripada jumlah itu dua projek itu sudah diselesaikan, manakala enam lagi sedang dibaik pulih.
Menurutnya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada tahun lalu telah meluluskan sebanyak RM4.1 juta bagi membantu dan menangani projek perumahan terbengkalai di bawah kerajaan negeri Selangor.
"Kita kenal pasti ada di antara projek sakit ini terlalu lama hendak disiapkan antaranya pada tahun 1994 dan 1996," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kos Rendah Projek Taman Sungai Yu Indah di sini pada Isnin.
Rodziah memberitahu, mengikut statistik projek perumahan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) pula merekodkan sebanyak 169 masih terbengkalai.
Ujar beliau, di bawah projek perumahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula sebanyak 49 projek terbengkalai sudah dikenal pasti.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 104 projek diklasifikasikan sebagai terbiar dan 25 projek lagi mengalami masalah infrastruktur," jelasnya.
Menurut Rodziah, masalah rumah terbengkalai melibatkan beberapa faktor antaranya masalah kontraktor, isu tanah, kes mahkamah dan penukaran komponen pembangunan.
"Tindakan sewajarnya sedang diambil untuk memastikan masalah ini dapat diselesaikan bagi memastikan projek pembangunan perumahan ini tidak terus tergendala," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!