Statut Rom: Kerajaan PH tidak konsisten
MARANG - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan Kerajaan PH tidak konsisten dalam membuat keputusan penting apabila melibatkan kedaulatan negara.
Menurutnya, beliau dimaklumkan mesyuarat Kabinet telah membuat keputusan supaya Malaysia menarik diri dari meratifikasi Statut Rom yang diiktiraf di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), dengan alasan timbul banyak kekeliruan.
"Bagi saya, tindakan sebegini mencerminkan sikap PH yang tidak konsisten dan sentiasa dalam keadaan 'was-was' untuk membuat keputusan penting melibatkan kedaulatan negara," katanya, hari ini.
Dalam masa sama, beliau turut mengambil contoh pendirian kerajaan PH dalam isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) sebelum ini.
Terdahulu, Kabinet memutuskan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom ICC kerana kekeliruan yang timbul dalam masyarakat serta disebabkan cubaan pihak tertentu untuk mengheret institusi Raja menentang kerajaan.
Mengumumkan keputusan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ada pihak menjadikan keputusan Malaysia menerima statut itu sebagai isu politik untuk memberi gambaran buruk terhadap kerajaan, khususnya beliau selaku Perdana Menteri.
Persoalannya, kata Hadi, adakah selepas ini akan ada lagi pengumuman menteri yang dibatalkan Perdana Menteri dengan alasan timbul kekeliruan dan bantahan, sedangkan yang keliru, tidak konsisten dan tidak bersatu hati adalah Jemaah Menteri sendiri.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Marang itu mahu kerajaan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan sebelum membuat sebarang keputusan dalam hal melibatkan kedaulatan negara.
"Sepatutnya pihak kerajaan perlu mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan dalam hal yang melibatkan kedaulatan negara.
"Dan kita berharap agar rakyat tidak dihabiskan masa dengan keputusan yang tidak konsisten oleh Jemaah Menteri selepas ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!