'Pulangkan suami saya semula': Isteri Amri
KANGAR - Dua tahun menghilang atau dihilangkan, ia begitu memeritkan buat Nurhayati Mohd Arifin, 46.
Isteri kepada Amri Che Mat yang hilang sejak dua tahun lalu ini benar-benar berharap agar ada berita mengenai suaminya.
"Tak kisah suami saya pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan baik atau sebaliknya, yang penting pulangkan semula Amri kepada kami. Kalau dia dah tak ada pun, kami dah tawakal, dah redha.
"Berilah kami berita yang sebenarnya," katanya.
Memetik laporan Astro Awani yang berkunjung ke kediamannya di Padang Behor, Kangar, Nurhayati turut menyifatkan kejadian yang menimpa suaminya sebagai sesuatu yang terlalu kejam.
“Terlalu kejam.... apa yang mereka nak sebenarnya? Kalau betul Amri bersalah, hukumlah dia dengan cara yang betul.
"Kita ada undang-undang, kalau perlu dibicarakan, bicarakan, siasatlah secara berani, kita ada undang-undang.
"Buat apa ambil macam tu kan, ni satu kerja yang pengecut,” ujar Nurhayati yang berharap agar kes itu dibuka semula memandangkan pelbagai keraguan timbul terutama wujudnya penglibatan pihak polis dalam misteri kehilangan suaminya.
Siasatan secara telus dan adil harus dijalankan, tanpa mengira siapa pun yang terlibat walaupun pihak berkuasa seperti polis.
Tegasnya, jika suaminya itu benar-benar bersalah, biarlah dia didakwa di bawah undang undang dan peruntukan yang sedia ada, bukannya ‘menghilangkan’ suaminya seperti itu.
"Sebelum ni saya rasa dia ada. Memang ada. Tapi setelah dua tahun lebih, saya dah tak dapat rasa.
"Saya tak tahu macam mana keadaan sekarang. Saya memang mohon, demi anak-anak, pulangkanlah dia balik walau apapun (keadaannya)," katanya.
Dalam pada itu, Nurhayati mengakui sejak kehilangan suami, dia melalui fasa-fasa sukar dalam hidupnya apatah lagi perlu membesarkan empat anak perempuan yang berusia antara 12 hingga 21 tahun, seorang diri.
“Sudah dua tahun lebih keadaan kami. Memang sukarlah untuk jalani kehidupan dengan anak-anak. Ayah dia memang rapat dengan anak semua. Lagipun nak besarkan anak-anak yang masih kecil bukan satu perkara yang mudah, dengan (kos sara hidup) sekarang dah tinggi.
“Bila kita bercakap, ada orang lain dengar. Macam kawan-kawan pun, (seperti) ada orang ikut.
"Rumah saya pun saya perasan ada yang tengok (intip), ada yang duduk dari jauh memerhatikan,” dakwanya.
Jelasnya, ruang privasi dirinya turut diganggu apabila mendakwa wujudnya intipan serta perbualan telefon ibarat digodam dan didengari orang lain.
ARTIKEL BERKAITAN:
KDN pertimbang siasatan kehilangan Koh, Amri menerusi RCI
Laporan Suhakam: Jangan terburu-buru jatuh hukuman
Kehilangan Koh, Amri: Tiada arahan dari saya: Ahmad Zahid
Rabu lalu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) melalui inkuiri awal sejak Oktober 2017 merumuskan pihak polis Cawangan Khas (SB) bertanggungjawab atas kehilangan Raymond Koh dan Amri Che Mat.
Panel Suhakam turut mendakwa kes kehilangan tersebut bukan secara sukarela tetapi paksaan yang melibatkan campur tangan ejen-ejen khas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!