Enam ditahan kemuka tuntutan palsu hampir RM900,000
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin menahan enam individu termasuk empat wanita bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai hampir RM900,000 sekitar tahun 2016 hingga tahun lepas.
Menurut sumber, keenam-enam suspek berusia antara 30 hingga 59 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Selangor sekitar 5 petang tadi (Isnin) ketika hadir memberi keterangan.
Katanya, tiga suspek berkenaan merupakan ketua pegawai operasi, pengarah dan akauntan sebuah syarikat pembinaan dipercayai berpakat untuk meluluskan pembayaran kepada dua syarikat yang terbabit dalam kerja-kerja menaik taraf saliran dan projek tebatan banjir di Selangor sedangkan kerja berkenaan tidak dilaksanakan.
"Projek pertama iaitu kerja-kerja menaik taraf saliran membabitkan nilai lebih RM250,000 manakala projek tebatan banjir pula bernilai lebih RM600,000.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi esok (Selasa) untuk permohonan reman, katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!