PM arah KKM beri rawatan terbaik kepada Najib

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin mengarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan rawatan terbaik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan keadaan kesihatan yang dialaminya.

"Saya telah dimaklumkan mengenai keadaan kesihatan Datuk Seri Najib Tun Razak. Saya telah mengarahkan KKM supaya memberikan rawatan terbaik yang diperlukan beliau. Saya doakan semoga beliau diberikan kesembuhan,” katanya menerusi ciapan di Twitter rasminya pada Isnin.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan memaklumkan, Najib dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) Jumaat lepas, sebagai kes elektif dan bukan kecemasan untuk memastikan kesihatannya berada pada tahap yang baik dan optimum.

Menurut Hisham, keadaan Najib adalah sihat sebelum dibenarkan discaj dari HKL, dan jenis-jenis ubat yang dipreskrib untuk Najib semasa kemasukan wad adalah yang sama jenisnya dan dalam senarai ubatan KKM.

Perbicaraan kes Najib bagi pertuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Mahkamah Tinggi pada Isnin dilaporkan telah disingkatkan, dan hakim bersetuju untuk menangguhkan perbicaraan pada pukul 12.30 tengah hari bagi membolehkan Najib mendapatkan rawatan perubatan. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!