Dua maut, empat cedera pacuan empat roda terjunam gaung

Pasukan bomba memeriksa lokasi kemalangan selepas pacuan empat roda terjunam ke dalam gaung di Jalan Silam, Lahad Datu, pada Isnin.
Pasukan bomba memeriksa lokasi kemalangan selepas pacuan empat roda terjunam ke dalam gaung di Jalan Silam, Lahad Datu, pada Isnin.
A
A
A

LAHAD DATU - Dua dilaporkan maut manakala empat lagi cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke gaung sedalam 48 meter di Jalan Silam, pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, seorang remaja berusia 18 tahun cedera di kaki manakala tiga lagi wanita yang cedera berserta dua yang maut masing-masing lelaki berusia 30-an belum diketahui identiti mereka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Samsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.20 petang.

Katanya, seramai enam anggota ke lokasi kejadian terletak sejauh 20 kilometer dari BBP Lahad Datu.

"Menurut maklumat, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Fortuner yang terbabas sendiri ke dalam gaung sejah 48 meter.

"Terdapat enam mangsa terlibat iaitu tiga lelaki dan tiga lagi wanita. Tiga mangsa wanita dibawa oleh orang awam ke Hospital Lahad Datu sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

"Dua mangsa lelaki pula disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan manakala seorang mangsa lelaki mengalami cedera di kaki diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada malam Isnin.

Katanya lagi, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

"Operasi kemudian ditamatkan pada jam 7.18 malam selepas memastikan kawasan itu selamat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!