Sukma 2022: Selangor kejutkan juara bertahan Perak
SELANGOR memulakan kempen bola sepak temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 dengan langkah kanan apabila berjaya membenam juara bertahan Perak 2-0 di Arena Universiti Malaya, pada Isnin.
Turun selaku juara dua kali, Selangor membuka kempen Kumpulan A dengan jaringan sulung daripada Mohd Khairil Mohd Zain pada minit ke-21.
Bersambung babak kedua, skuad Gergasi Merah menggandakan jaringan pada minit ke-79 menerusi Pengiran Mohamad Ilham AG Jumaat yang melengkapkan sepakan leret rakan sepasukan, Muhammad Fahmi Daniel Mohd Zaaim.
Jurulatih Selangor, Muhammad Firdaus Aziz, yang berpuas hati dengan aksi yang dipersembahkan anak buahnya, menyasarkan memburu kemenangan pada perlawanan seterusnya menentang Negeri Sembilan, Rabu ini.
"Sebelum ini kita tak jumpa Perak langsung, susah untuk jangka bagaimana corak permainan mereka, tapi anak buah saya dapat memahami cara mereka bermain dan kalahkan mereka. Kita wajib menang perlawanan kedua selepas ini," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.
Sementara itu, jurulatih Perak, Mohd Shahril Nizam Khalil yang kecewa dengan kekalahan pasukannya berkata, anak buahnya perlu memperkuatkan bahagian pertahanan dalam usaha menggenggam kemenangan menentang skuad Kuala Lumpur, Rabu ini.
Perak melengkapkan hatrik pingat emas acara bola sepak apabila menewaskan Kedah 2-1 pada final edisi 2018 di Ipoh.
Satu lagi aksi kumpulan sama menyaksikan Wilayah Persekutuan mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Negeri Sembilan, hasil jaringan tunggal Suhaimi Abu pada minit ke-48.
Sementara itu, saingan Kumpulan B, menyaksikan Sarawak berjaya menewaskan Melaka 2-1.
Sarawak mendahului menerusi jaringan Mohamad Zharmien Ashraf Ismail seawal minit pertama dan Ikhawan Firdaus Mohd Zaidi pada minit ke-29, manakala Melaka merapatkan jurang melalui Muhammad Luqmanul Hakeem Norizam pada minit ke-74. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!