JDT sudah layak pegang gelaran 'King of Malaya'
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) terus membuktikan kejagoan mereka dalam arena bola sepak Malaysia apabila menambah satu lagi koleksi trofi hasil kejayaan menjuarai Piala FA selepas membenam Terengganu FC (TFC) 3-1 dalam aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu lalu.
Kejayaan itu menyaksikan JDT kini merekodkan 20 trofi kejuaraan di bawah kepimpinan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sejak tahun 2013.
Satu pencapaian yang tampak sukar dicabar mana-mana pasukan di pentas Liga Malaysia (Liga-M) buat masa ini.
Dengan kejayaan muncul juara Piala Sultan Ahmad Shah (Sumbangsih) pada awal musim dan terbaharu, Piala FA, JDT yang mendapat sentuhan ketua jurulatih kelahiran Venezuela, Hector Bidoglio sejak Julai lalu kini berada di landasan terbaik untuk memahat sejarah baharu Liga-M.
Bidoglio melontarkan cabaran kepada barisan pemain Harimau Selatan untuk terus mempamerkan belang dan taring dalam mengharungi baki saingan Liga Super sebelum menempuh tugasan penting pada kempen Piala Malaysia musim ini.
Atas kertas, JDT hanya menunggu masa untuk ditabalkan selaku juara Liga Super bagi musim kesembilan berturut-turut apabila beberapa pencabar utama mereka seperti Sabah FC, Negeri Sembilan FC, TFC mahupun Kedah Darul Aman FC dilihat agak sukar untuk memintas mereka di carta teratas.
Pada ketika trofi Liga Super sudah hampir berada dalam genggaman, satu-satunya ujian terakhir JDT dalam misi merangkul gelaran quadruple (empat kejuaraan) musim ini adalah memburu Piala Malaysia - trofi kejuaraan yang kali terakhir dimenangi mereka pada tahun 2019 selepas gagal menyambarnya musim lalu.
Sekiranya misi menjulang Piala Malaysia berjaya direalisasikan kali ini dengan mengambil kira trofi Liga Super sah kekal berada di bumi Johor, tidak keterlaluan untuk melabelkan skuad Harimau Selatan sebagai ‘King of Malaya’ atas kejayaan yang dikecapi mereka dalam sejarah bola sepak Malaysia.
Setakat ini, dua pasukan iaitu Kedah Darul Aman FC dan Kelantan FC yang boleh mendabik dada dengan pencapaian gemilang mereka merangkul gelaran treble dalam saingan utama Liga-M apabila menjuarai Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia pada tahun yang sama.
Kini, JDT yang mengecapi kemasyhuran di pentas Asia selepas menjuarai Piala AFC 2015 tampak berpeluang mencipta sejarah baharu bola sepak Malaysia seterusnya memegang status sebagai ‘King of Malaya’.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!