'Kami tegur, kami kritik sebab kami sayang'
APA sudah jadi Lee Zii Jia? Itu antara persoalan yang sedang bermain di fikiran Merak Jalanan ketika ini. Ia susulan prestasi buruk jaguh badminton perseorangan lelaki negara itu sejak kebelakangan ini.
Sejak keputusannya menarik diri daripada menyertai Sukan Komanwel Birmingham 2022, nama Zii Jia kembali ‘panas’. Sama seperti ketika dia membuat keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bergerak secara solo, situasi yang sama terjadi apabila Zii Jia tidak mewakili skuad negara pada Sukan Komanwel Birmingham 2022. Alasannya mahu memberi tumpuan kepada Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun.
Tetapi, ibarat kata pepatah lama, yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran, itulah terjadi kepada Zii Jia yang kini memegang status pemain nombor lima dunia.
Bukan saja gagal untuk sekurang-kurangnya layak ke pentas final, malah lebih mengecewakan Zii Jia, juara Seluruh England 2021 ditunjuk jalan keluar seawal pusingan ketiga. satu keputusan yang sukar diterima peminat badminton negara.
Susulan keputusan luar jangka itu, Zii Jia mendapat kritikan dan kecaman hebat tidak kira daripada peminat, pemerhati, pengkritik sukan mahupun media tempatan.
Dalam hal ini, Merak Jalanan cuba bersikap fleksibel. Bukan tidak mahu menyokong anak muda kelahiran Kedah itu ketika dia ‘jatuh’, tetapi Merak Jalanan mengambil pendekatan lebih rasional atas prestasi tidak menentu Zii Jia dalam 11 kejohanan yang disertainya pada tahun ini.
Nasihat Merak Jalanan, terpulanglah kepada Zii Jia dalam memacu kembali kariernya supaya kembali ke puncak kemasyhuran. Yang pasti, rakyat Malaysia sabar menantikan Zii Jia kembali ‘berbisa’ di atas gelanggang.
Bak kata seorang rakan Merak Jalanan, “Kami tegur, kami kritik sebab kami sayang.”
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!