Kapal OPV dijangka diterima awal tahun depan

Kapal OPV 1 dijangka akan diterima Maritim Malaysia pada awal tahun depan. Gambar kecil: Mohd Zubil
Kapal OPV 1 dijangka akan diterima Maritim Malaysia pada awal tahun depan. Gambar kecil: Mohd Zubil
A
A
A

SHAH ALAM - Kapal peronda luar pesisir (OPV) yang sedang dalam pembinaan dijangka diterima Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada awal tahun depan.

Ketua Pengarah Maritim, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, tiga buah kapal OPV milik Maritim Malaysia yang sepatutnya diterima pada 2020 masih dalam pembinaan oleh syarikat tempatan iaitu THHE Destini Sdn Bhd yang terletak di Pulau Indah, Klang.

Menurutnya, pandemik Covid-19 yang melanda negara sebelum ini turut menyumbang kepada kelewatan penyerahan kapal-kapal tersebut kepada pihak maritim.

"Kapal OPV 1 yang sepatutnya dilancarkan ke air pada hari ini iaitu 13 September 2022 gagal dilakukan kerana kapal masih tidak berjaya dibawa ke lokasi pelancaran.

"Syarikat akan mengubah kepada cara pelancaran daripada Launching Cradle kepada sistem pelancaran Air Balloon dan ia dijangka direalisasikan pada 10 Oktober 2022 ini.

"Sekiranya semua berjalan dengan lancar dan jika pelancaran ini dapat direalisasikan pada tarikh tersebut, besar kemungkinan untuk kapal OPV 1 dapat diserahkan kepada pihak Maritim Malaysia pada awal tahun 2023, manakala kapal seterusnya iaitu OPV 2 dan OPV 3 akan diserahkan secara berperingkat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Zubil berkata, adalah besar harapan agensi ini agar ketiga-tiga kapal dapat disiapkan dan diserahkan kepada pihaknya dengan kadar segera walaupun ianya telah dua tahun melewati dari tarikh asal penyerahan.

Tambahnya, ketiga-tiga kapal OPV ini amat diperlukan oleh pihak maritim pada masa kini bagi menguatkuasakan undang-undang di dalam perairan negara.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!