'Mujurlah Dr Mahathir tarik Statut Rom'
KOTA BHARU - Pas berharap kerajaan tidak lagi membuat keputusan melulu dan lebih berhati-hati dengan memikirkan sedalam-dalamnya sebelum membuat sebarang keputusan demi kepentingan negara.
Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan berkata, ia termasuk tindakan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah yang membuat kenyataan mengelirukan dengan mengaitkan persetujuan Yang Dipertuan Agong mengenai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC)
Menurutnya, mujurlah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil keputusan untuk menarik balik penyertaan negara daripada statut tersebut.
“Sepatutnya negara ambil langkah itu sejak awal sebab ia dikhuatiri boleh menggugat negara termasuk Majlis Raja-raja Melayu dan syariat Islam.
“Kita bimbang, di masa depan ICC mungkin berpandangan peraturan syariah bercanggah dengan undang-undang antarabangsa, seterusnya membolehkan ICC mengambil tindakan terhadap negara serta Yang Dipertuan Agong,” katanya.
Takiyuddin berkata, mengambil contoh dari negara terdekat, Filipina berdepan saman ICC selepas mereka beranggapan undang-undang yang dibuat negara itu terhadap pengedar dan penagih dadah mencabuli undang-undang antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!