Kemenangan penting KL City FC
KEMENANGAN 2-0 ke atas Sri Pahang FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur Ahad lalu, dilihat sebagai kemenangan penting buat skuad KL City FC dalam usaha mengukuhkan lagi kedudukan dalam carta Liga Super.
Perkara itu ditegaskan pengendali KL City FC, Bojan Hodak yang mengakui gembira dengan aksi yang dipamerkan kesebelasan pemain walaupun masih kepenatan setelah beraksi di peringkat separuh akhir Piala AFC antara zon, baru-baru ini.
"Pertamanya, kemenangan ini memang penting, walaupun agak sukar untuk direalisasikan tambahan pula dalam keadaan padang seperti ini (becak).
"Ditambah lagi dengan keadaan pemain yang masih lagi dalam keletihan setelah beraksi di separuh akhir antara zon Asean Piala AFC 2022 baru-baru ini.
"Bagaimanapun mereka masih mampu mempamerkan permainan yang baik bagi menghasilkan kejayaan kali ini," katanya
Pada perlawanan berkenaan, penyerang muda KL City FC, Muhammad Haqimi Azim Rosli membuka jaringan pada minit ke-31 sebelum kapten, Zhafri Yahya melengkapkan kemenangan skuad The City Boys itu dengan gol kedua pada minit ke-72.
Mengulas mengenai prestasi dipamerkan Muhammad Haqimi Azim, Bojan mengakui pemain berusia 19 tahun telah membuktikan bahawa dia merupakan antara pemain penting bagi KL City FC ketika ini.
"Bagi saya, Haqimi kini merupakan pemain penting buat kita. Walaupun ia merupakan perlawanan keduanya, dia telah membalas kepercayaan kita dengan mempamerkan aksi mengagumkan.
"Malah, dia turut mempunyai beberapa peluang bagi menambah jaringan...apa pun, tiga mata daripada perlawanan ini sudah cukup memadai dan pemain diharap dapat mengekalkan fokus bagi mengharungi baki perlawanan Liga Super selepas ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!