Tiada ahli UMNO sertai DAP di Parit: Saarani
IPOH - Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengesahkan, tiada ahli parti itu menyertai penubuhan baharu DAP di Parlimen Parit yang majoritinya adalah pengundi Melayu.
Beliau yakin, mana-mana orang Melayu yang menyertai keahlian DAP itu adalah kalangan mereka yang belum mempunyai parti.
"Saya percaya yang dikatakan menubuhkan DAP itu bukan datang daripada UMNO, bermakna orang Melayu yang belum berparti.
"Barangkali mereka memilih parti yang bukan UMNO, jadi orang Melayu itu memilih untuk menubuh parti DAP," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri di Stadium Indera Mulia di sini pada Selasa.
Menteri Besar berkata, penubuhan cawangan baharu DAP di Parit bukanlah satu isu besar mengambil kira amalan demokrasi di negara ini yang membolehkan sesiapa sahaja berhak untuk menubuhkan cawangan parti di mana-mana kawasan termasuklah di Sabah dan Sarawak.
Malah katanya, keadaan itu memberikan satu persaingan yang sihat untuk menjadikan UMNO bekerja lebih keras memenangi hati pengundi dan rakyat.
"Ada parti-parti (pelbagai) ini bersaing lagi bagus, kalau tidak orang Parit akan tidur. Bila ada persaingan, orang UMNO Parit akan bekerja lebih kuatlah," katanya.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sebelum ini memaklumkan, parti itu akan menubuhkan cawangan di Parit di daerah Perak Tengah dan akan diketui orang Melayu.
Dilaporkan, lebih 300 orang mengambil borang keahlian dan setakat ini lebih 200 borang telah dikembalikan untuk menyertai parti itu dan semua yang memohon keahlian itu merupakan orang Melayu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!