MAFI belanja RM3 juta atasi 'penyakit tanaman'
SEREMBAN- Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Pertanian telah membelanjakan sekurang-kurangnya RM3 juta setahun dari tahun 2010 hingga kini bagi memperkukuh Program Pengurusan Perosak dan Penyakit Tanaman.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, laporan di seluruh dunia merekodkan, hampir 40 peratus tanaman makanan musnah akibat serangan perosak dan penyakit tumbuhan setiap tahun dan Malaysia juga tidak terkecuali dalam menghadapi fenomena ini.
"Kemerebakan atau outbreak perosak dan penyakit ini melibatkan kos yang besar kepada kerajaan dari segi pengurusan dan program penghapusannya.
"MAFI melalui Jabatan Pertanian yang juga sebagai sebahagian daripada Organisasi Perlindungan Tumbuhan Kebangsaan (National Plant Protection Organization, NPPO), sentiasa berusaha untuk memastikan usaha pelaksanaan biosekuriti tanaman dan tumbuhan sentiasa menjadi keutamaan dalam memacu usaha ke arah pertanian yang lebih mampan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Biosekuriti Tumbuhan Tahun 2022 di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan juga akan mempertingkatkan kawalan dan penguatkuasaan di sempadan khususnya di pintu masuk negara bagi memastikan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak berbahaya dapat dibendung serta dikawal.
"Dalam hal ini, Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negara secara dasar telah bersetuju dengan pewujudan Pusat Sehenti Kuarantin Negara (One Stop Quarantine Centre - OSQC) di pintu masuk utama pengimportan dan pengeksportan hasil pertanian dan agromakanan negara bagi terus memperkukuhkan kawalan biosekuriti.
"OSQC yang dalam peringkat perbincangan dan penelitian lanjut ini akan menyediakan satu fasiliti bersepadu yang akan menyediakan semua perkhidmatan berkaitan kuarantin dan keselamatan agromakanan.
"Ia meliputi pemeriksaan, rawatan kuarantin, pengujian, penyelidikan, pemantauan dan pelupusan ke atas komoditi pertanian dan produk agromakanan," katanya.
Katanya, fasiliti ini akan dibangunkan dengan menerapkan penggunaan teknologi tinggi, automasi, moden dan standard.
"Ia bagi memastikan matlamat kawalan biosekuriti tercapai dengan menyokong dan melengkapi aktiviti perdagangan termasuk import, eksport, transit, transhipment, transloading dan further processing komoditi pertanian dan produk agromakanan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!