Pukul guna penyangkut baju, bapa pelakon remaja direman lagi
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, suspek direman empat hari lagi bagi siasatan berhubung dakwaan memukul anaknya itu menggunakan penyangkut baju.
"Suspek sebelum ini diberkas di sebuah rumah di Kedah dan kemudiannya direman tujuh hari dan reman tersebut telah tamat semalam.
"Suspek kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret pada hari ini dan kemudiannya reman terhadap suspek diberikan empat hari," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas program townhall Polis Selangor di Dewan D’Cerana, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Selasa.
Arjunaidi berkata, siasatan berhubung kes tersebut sedang dijalankan secara lanjut.
"Beberapa saksi telah diambil keterangan berhubung kes itu dan siasatan dijalankan daripada segenap sudut," katanya.
Pada Selasa lalu, bapa kepada pelakon remaja perempuan yang sebelum ini mendakwa diganggu secara seksual oleh suspek direman tujuh hari setelah diberkas di sebuah rumah di Kedah.
Sebelum itu, pada Isnin, pelakon remaja berusia 15 tahun membuat laporan pada jam 10.25 malam susulan mendakwa diganggu secara seksual oleh bapanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, bapa kepada pelakon terbabit telah membuat laporan di Balai Bandar Baharu, Kedah pada Ahad susulan pendedahan dibuat anaknya di halaman perkongsian video, YouTube mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual dan penderaan bapanya semasa berusia enam tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!