Pengerusi SIRIM terima anugerah pingat dari Jepun
KUALA LUMPUR - Pengerusi SIRIM, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali, menerima pingat kebesaran daripada Kerajaan Jepun iaitu “The Order of the Rising Sun, Gold Rays with Neck Ribbon”.
Anugerah berkenaan disampaikan kepada beliau oleh Duta Besar Jepun ke Malaysia, TYT Dr Makio Miyagawa dalam satu majlis di kediaman duta itu di Kuala Lumpur.
Menurur Miyagawa, pengiktirafan kepada Ahmad Tajuddin diberikan berikutan sumbangannya dalam menggalakkan kerjasama ekonomi antara Jepun dan Malaysia.
“Ahmad Tajuddin mempunyai kerjaya yang cemerlang di dalam sektor kerajaan dan korporat.
"Beliau telah menerajui organisasi antaranya sebagai Pengerusi Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pengerusi Gas Malaysia Sdn Bhd dan Pengerusi Suruhanjaya Tenaga Malaysia.
Pada masa ini, Tan Sri adalah Pengerusi SIRIM Berhad, dan juga MIGHT,” katanya pada majlis berkenaan.
Jelas beliau, semasa menjadi Pengerusi Suruhanjaya Tenaga, Ahmad Tajuddin telah menganjurkan persidangan pertama berkaitan bekalan dan permintaan tenaga.
Malahan ujarnya, Ahmad Tajuddin juga telah menyediakan peluang berharga kepada Jepun untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan Malaysia berkenaan bagaimana menambah baik keselamatan tenaga di Malaysia.
"Sepanjang beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah SIRIM dari 1989 hingga 1996, beliau telah membangunkan standard keselamatan bagi produk elektrikal yang dibuat di Malaysia.
“Ini telah membantu meningkatkan keselamatan dalam kalangan pengguna di Malaysia dan mengukuhkan daya saing produk elektrikal yang dibuat di Malaysia termasuklah yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat E&E Jepun,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohd Hani, Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International, Mohd Azanuddin Salleh dan Naib Presiden Kewangan Kumpulan SIRIM, Sabarina Harun.
Ahmad Tajuddin, 71, adalah juga Pro-Canselor Universiti Tenaga Nasional (Uniten) serta Pengerusi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!