Pengusaha musang king mahu peruntukan khas dalam Bajet 2023

Pengusaha musang king di Kelantan mohon peruntukan khas dalam Bajet 2023 bagi membantu meningkatkan mutu pengeluaran buah itu. Gambar kecil: Abd Rahim
Pengusaha musang king di Kelantan mohon peruntukan khas dalam Bajet 2023 bagi membantu meningkatkan mutu pengeluaran buah itu. Gambar kecil: Abd Rahim
A
A
A

KOTA BHARU - Pengusaha tanaman durian musang king di Kelantan mengharapkan peruntukan khas pada Bajet 2023 bagi membantu meningkatkan mutu pengeluaran termasuk pembinaan kilang cecair nitrogen di negeri ini.

Pengerusi Persatuan Usahawan Durian Negeri Kelantan (PUDNK), Abd Rahim Muhammad berkata, Kelantan antara pengeluar durian dengan anggaran lebih 10 tan setiap hektar tanah kebun, namun tidak mempunyai kilang cecair nitrogen seperti yang ada di Pahang.

Katanya, kilang cecair nitrogen amat diperlukan bagi mengatasi masalah lambakan durian setiap kali musim.

“Durian adalah produk berpotensi tinggi yang dieksport ke pasaran luar negara seperti China. Malaysia adalah pembekal utama selain Thailand dengan masing-masing mempunyai kelebihan kualiti buah mengikut cita rasa pengguna.

“Jadi, peruntukan khas amat diperlukan oleh golongan pekebun durian dalam memastikan mutu pengeluaran buah itu terjamin dan dapat menembusi ke pasaran luar negara yang lebih luas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Abd Rahim berkata, Kelantan juga disasarkan menjadi hab pengeksport musang king pada masa hadapan dan kewujudan kilang nitrogen akan berfungsi sebagai tempat penyimpanan buah supaya kekal segar sebelum dieksport ke luar negara.

“Perusahaan tanaman durian amat mencabar kerana mengambil masa yang lama untuk membuahkan hasil selain ketika ini turut memerlukan lebih masa untuk bekalan dihantar menumpang ke kilang cecair nitrogen di Raub, Pahang.

“Jadi kami mengharapkan kerajaan dapat memberikan perhatian khusus pada Bajet 2023 dan menghulurkan bantuan supaya pengeluar durian terus dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Abd Rahim, pembinaan sebuah kilang cecair nitrogen dianggarkan menelan belanja minimum RM2 juta dan bagi lokasi pembinaan yang pertama di Kelantan adalah dicadangkan di Tanah Merah.

Beliau berkata, pekebun durian juga memerlukan inisiatif dalam bentuk keperluan asas dan infrastruktur seperti jalan ladang, bangsal bagi pengumpulan hasil serta bantuan baja dan racun.

“Durian jenis musang king kebanyakannya ditanam di lebih 100 hektar tanah pertanian oleh 500 pekebun di bawah PUNDK di Jeli, Tanah Merah dan Kuala Krai.

“Pekebun durian pernah rugi kerana lambakan durian dan masalah akan dapat diatasi dengan pembinaan kilang serta pemberian inisiatif-inisiatif lain ini akan memanfaatkan kepada lebih 10,000 pekebun di negeri ini,” katanya.

Pada Ogos lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan Bajet 2023 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober depan.

Menurutnya, belanjawan itu akan dibentangkan pada sesi sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 (2022) yang bermula pada 3 Oktober depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!