Bajet pertahanan perlu dipertingkat
KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi memastikan kesiagaan aset pertahanan sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, menerusi koordinasi bersama Kementerian Pertahanan (Mindef) beliau berharap ada pertambahan peruntukan pertahanan semasa pembentangan Bajet 2023 nanti.
"Kesiagaan ATM adalah berasaskan lima elemen kesiagaan yang perlu dipastikan sentiasa berada pada tahap yang tinggi iaitu, kesiagaan aset utama, aset bantuan, kesediaan ordnan, logistik dan juga sumber manusia.
"Walaupun negara perlu menyediakan perbelanjaan tinggi tersebut, negara akan memperoleh pulangan pelaburan (ROI) yang besar khususnya dalam bentuk jaminan keselamatan dan industri pertahanan tempatan.
"Ini akan mengundang rakan dan kongsi yang akan membolehkan pembangunan ekonomi dan sosial negara yang lebih makmur," katanya pada sesi wawancara khas bersama media sempena Hari ATM ke-89 di Wisma Perwira, di sini pada Selasa.
Affendi berkata, perolehan aset-aset baharu penting sebagai langkah pencegahan daripada anasir-anasir jahat yang mengancam kedaulatan negara yang sentiasa mencari ruang menceroboh.
Dalam pada itu, Affendi berkata, pertambahan peruntukan berkenaan jika dilaksanakan akan dapat memacu industri pertahanan tempatan secara tak langsung menjadikan perolehan serta penyelenggaraan aset ketenteraan lebih efisien dan murah untuk jangka masa panjang.
"Dari segi pelaburan, dalam konteks industri tempatan seperti mana-mana perniagaan sebelum membesar dia kena ada jumlah keuntungan tertentu sebelum berkembang.
"Kalau tak ada pembeli perniagaan tak akan maju jadi berdasarkan keperluan kita jumlah 1.5 peratus ini satu yang berpatutan dan kita mampu. Bukan sahaja akan memperkasa pertahanan negara malah dapat memacu sektor pertahanan tempatan," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya sedar keadaan kewangan negara yang kurang memberangsangkan pada ketika ini bagaimanapun beliau berharap kerajaan dapat memenuhi keperluan kesiagaan tinggi yang diperlukan ATM.
"Bagi menentukan lima elemen kesiagaan yang saya sebutkan tadi, pastinya ia memerlukan peruntukan kewangan yang secukupnya khususnya bagi menyelenggara, mengganti dan menambah aset-aset dalam sistem pertahanan daratan, maritim, udara dan siber.
"Segala pelan perolehan aset utama dan sistem pertahanan sokongan ATM telah dirancang dengan teliti," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!