LRA utama beroperasi semula
JOHOR BAHRU - Beberapa Loji Rawatan Air (LRA) utama yang ditutup susulan pencemaran ammonia di Sungai Sayong dan Sungai Johor dibuka secara berperingkat mulai semalam.
Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse berkata, LRA berkenaan melibatkan Sungai Sayong 1, Sungai Sayong 2, Semanggar, Sungai Johor dan Tai Hong.
"Walaupun LRA telah beroperasi sepenuhnya tetapi tempoh pemulihan bekalan akan mengambil masa bagi membekalkan 100 peratus air terawat kepada rakyat.
"Seperti LRA Tai Hong yang mula beroperasi pada jam 11 malam pada 5 April, ia mula membekalkan air kepada penduduk bermula jam 6 pagi keesokan harinya," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Wee Tse berkata, berdasarkan rekod terkini gangguan bekalan air itu melibatkan kira-kira 24,713 pemegang akaun SAJ Ranhill di sekitar Kulai dan Johor Bahru.
Namun, beliau memberi jaminan masalah berkenaan akan diselesaikan lewat malam hari ini.
"Kebanyakan kawasan di Johor Bahru telah mula mendapat bekalan air tetapi sebahagian lokasi seperti di Kempas, Taman Bukit Indah dan Taman Desa Cemerlang belum pulih sepenuhnya.
"Kerajaan Johor melalui Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) serta SAJ Ranhill sedang cuba memulihkan bekalan seperti sedia kala kepada pengguna," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!