RFB strategi bomba hadapi banjir

Reezal Merican
Reezal Merican
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menggunakan Pusat Pangkalan Hadapan (RFB) sebagai antara strategi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023 dijangka bermula November ini hingga Mac 2023.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, RFB berfungsi sebagai kawasan penempatan anggota bomba dan logistik mengikut tiga pecahan wilayah iaitu Wilayah Timur melibatkan Terengganu, Kelantan dan Pahang; Wilayah Utara - Kedah, Perak, Pulau Pinang, Perlis; dan Wilayah Selatan - Johor, Negeri Sembilan, Melaka.

Reezal Merican berkata, lokasi RFB adalah di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wakaf Tapai, Terengganu bagi Wilayah Timur; Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perda, Pulau Pinang (Wilayah Utara) dan BBP Ayer Hitam, Johor bagi Wilayah Selatan.

"RFB berupaya memperkukuh dan memanfaatkan kekuatan hampir 30,000 anggota bomba di seluruh negara pada tahap optimum, iaitu anggota dari negeri bersebelah yang tidak terjejas akan digerakkan ke negeri terkesan banjir," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau pada Selasa.

Reezal Merican berkata, RFB akan sentiasa berkomunikasi bersama Pusat Pengurusan Operasi (PPO) dan segala arahan yang diterima dari PPO perlu digerakkan secepat mungkin.

"Operasi bilik gerakan RFB ini juga adalah 24 jam sehari sehinggalah operasi banjir ditamatkan," katanya.

Hujan lebat pada musim MTL kebiasaannya menyebabkan banjir besar terutama di negeri-negeri pantai timur.

Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan lebat bermula November hingga Disember 2022, manakala Johor, Sabah dan Sarawak dijangka berdepan hujan lebat bermula Disember 2022 hingga Januari 2023. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!