PDRM lantik 104 duta Anti-Scam

Acryl Sani bersama Awie, Hattan dan Chong Wei yang dipilih menjadi duta Anti-Scam JSJK di Maktab PDRM Cheras pada Selasa.
Acryl Sani bersama Awie, Hattan dan Chong Wei yang dipilih menjadi duta Anti-Scam JSJK di Maktab PDRM Cheras pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyasarkan sebanyak 10 peratus kes penipuan dalam talian dapat dikurangkan dengan pelantikan 104 Pemimpin Pendapat Utama (KOL) sebagai jurucakap atau duta bagi kempen 'Anti-Scam'.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pelantikan 104 duta tersebut sebagai usaha PDRM memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung sindiket penipuan yang semakin berleluasa di negara ini.

"Duta tersebut terdiri daripada artis usahawan, agamawan, pegawai polis, pempengaruh (influencer), penggiat seni dan tokoh sukan.

"Antara selebriti popular tersebut ialah Datuk Awie, Datuk Hattan dan Zed Zaidi, manakala tokoh sukan tersohor pula adalah Datuk Lee Chong Wei dan Lee Zii Jia," katanya pada Majlis Pelantikan 104 figura sebagai duta Anti-Scam Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Maktab PDRM Cheras, di sini pada Selasa.

Acryl Sani berkata, daripada 104 KOL yang dilantik, seramai 76 merupakan lantikan JSJK, manakala 28 orang lagi di bawah naungan Multimedia Creative Solution Sdn. Bhd. (MSC) selaku rakan strategik JSJK untuk kempen tersebut.

"Kesemua duta itu dilantik ekoran mereka mempunyai pengikut yang ramai sekali gus memudahkan mereka mendekati orang awam untuk memberi kesedaran berhubung taktik sindiket penipuan," katanya.

Beliau berkata, jenayah penipuan ini sukar untuk dicegah dan dibendung, namun ia boleh dikawal dengan memberi pengetahuan yang secukupnya kepada masyarakat.

"Duta yang dilantik bertanggungjawab menjalankan peranan mereka dengan cara tersendiri, mereka tidak terikat dengan sebarang garis panduan, mereka boleh sampaikan maklumat tepat kepada masyarakat pada bila-bila masa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!