Pasaran getah ditutup tinggi empat hari berturut-turut

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PASARAN getah Malaysia ditutup tinggi bagi empat hari berturut-turut apabila para pelabur menyambut baik langkah China untuk menstabilkan ekonomi mereka, kata seorang peniaga.

Dilaporkan bahawa pengguna getah asli terbesar di seluruh dunia itu akan melancarkan dasar berperingkat dalam masa terdekat untuk merangsang penggunaan dan pelaburan.

Perdana Menteri, Li Keqiang berkata, negara itu akan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menstabilkan pertumbuhan, pekerjaan dan harga.

Bagaimanapun, peniaga itu berkata aliran menaik seterusnya dikekang oleh penurunan dalam pasaran minyak apabila pelabur mengalihkan tumpuan mereka kepada laporan prospek bulanan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan inflasi AS yang akan dikeluarkan lewat Selasa.

Beliau berkata, terdapat juga kebimbangan mengenai kesan buruk Covid-19 yang berterusan di China berikutan penyusutan hasil pelancongan semasa sambutan perayaan pertengahan musim luruh apabila sekatan perjalanan mengehadkan pergerakan.

Sementara itu, harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) naik 11.0 sen kepada 600.5 sen sekilogram manakala lateks pukal meningkat 3.0 sen kepada 481.0 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga penutup LGM bagi SMR 20 berada pada 603.5 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 485.0 sen sekilogram. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!