Lelaki guna plat pendaftaran palsu bawa dadah ditahan
AMPANG - Tindakan seorang lelaki menunggang motosikal menggunakan nombor pendaftaran palsu serta memiliki enam paket dadah membawa padah apabila dia ditahan pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 43 tahun itu bertindak memalsukan nombor pendaftaran kenderaannya kerana ingin lari daripada hutang motosikal.
"Sepasukan anggota polis yang sedang menjalankan tugas ronda jenayah telah menahan suspek yang menunggang motosikal Yamaha LC135 dalam keadaan mencurigakan pada jam 12.15 tengah malam di Jalan Tasik Tambahan di sini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohamad Farouk berkata, hasil semakan mendapati suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu.
"Hasil pemeriksaan motosikal berkenaan mendapati, ia atas nama suspek dan tidak mempunyai insurans tetapi mempunyai lesen kenderaan yang sah.
"Pemeriksaan lanjut, kita menemui lima paket lutsinar disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 2.07 gram dan sepaket lutsinar di dalamnya mengandungi ketulan daun mampat disyaki dadah jenis ganja anggaran berat empat gram," jelasnya.
Beliau berkata, hasil ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah syabu.
"Suspek tidak mempunyai rekod lampau dan direman empat hari bermula Selasa hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan kecil 1955 iaitu memiliki barang yang tidak dapat sahkan.
"Selain itu, kes juga disiasat mengikut Seksyen 12(3) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!