Atlet paralimpik mampu hasilkan keputusan luar biasa di Paris

Ahmad Shapawi (tengah) bersama atlet paralimpik negara ketika majlis menandatangani MoU antara MSN dan Allianz Malaysia di Casa 4, MSN, Bukit Jalil pada Selasa. - Foto Bernama
Ahmad Shapawi (tengah) bersama atlet paralimpik negara ketika majlis menandatangani MoU antara MSN dan Allianz Malaysia di Casa 4, MSN, Bukit Jalil pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KONTINJEN para negara diyakini mampu menyumbang pingat emas menerusi cabang sukan lain di Sukan Paralimpik Paris 2024.

Itu keyakinan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang percayai atlet para negara mampu menghasilkan keputusan luar biasa di Paris.

Jelasnya, keyakinan itu hadir berdasarkan pencapaian dan prestasi kontinjen para negara dalam dua temasya di Rio 2016 dan Tokyo 2020 sebelum ini.

"Sebenarnya kita sudah mencapai satu sejarah di Rio 2016 menerusi para olahraga apabila mereka meraih tiga emas.

“Di Tokyo 2020 pula, kita sekali lagi mencatat sejarah bukan saja daripada sukan olahraga tetapi juga dalam dua sukan lain iaitu powerlifting dan badminton.

"Saya juga percaya sekiranya nasib menyebelahi kontinjen para negara di Tokyo ketika itu, kita mungkin dapat memecahkan pungutan tiga emas di Rio," katanya selepas majlis menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MoU) antara MSN dan Allianz Malaysia, pada Selasa.

Biarpun begitu Ahmad Shapawi, menasihati atlet para negara untuk tidak terlalu berada dalam zon selesa, sebaliknya menggandakan usaha sebagai persediaan ke temasya sukan terbesar dunia itu.

"Kita juga tidak boleh leka dengan sukan yang sudah menyumbang emas, sebaliknya perlu terus mempamerkan prestasi konsisten atau lebih baik di Paris 2024.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga harap boccia dan pingpong yang menyerlah di Tokyo 2020 akan menghasilkan sesuatu di Paris 2024, selain kita akan cuba mencari atlet baharu tenis kerusi roda dan sebagainya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!