Sistem cukai di Malaysia berat sebelah

Jomo Kwame Sundaram
Jomo Kwame Sundaram
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan sistem percukaian di Malaysia disifatkan sebagai berat sebelah dan hanya memihak kepada golongan kaya.

Pakar Ekonomi, Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram berkata, kerajaan dilihat tidak mahu mengenakan cukai terhadap individu yang berpendapatan tinggi.

“Sebaliknya kita mendapati sumber cukai lain terutama yang melibatkan pengguna, iaitu barangan yang dibeli untuk isi rumah secara harian telah meningkat secara relatif.

“Banyak cukai sebelum ini seperti cukai harta dan cukai pendapatan telah dikurangkan kadarnya kononnya untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Ini masalah besar yang dihadapi dari dulu lagi dan situasi ini banyak dipengaruhi oleh beberapa trend di barat terutama United Kingdom (UK), misalnya ketika pemerintahan Margaret Thatcher, Ronald Reagan dan baru-baru ini, Donald Trump yang mana mereka mengurangkan cukai terhadap golongan berada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar edisi ke-365 yang bertajuk "Bajet 2023: Tawaran untuk PRU15" yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis, Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dan Penganalisis Dasar Politik Ekonomi dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Md Shukri Shuib manakala Ismail Adnan selaku moderator.

Tambah Jomo Kwame, kerajaan juga sebelum ini menolak kemungkinan mengenakan cukai durian runtuh atau 'windfall tax' sewaktu ia dicadangkan.

Artikel Berkaitan:

“Baru-baru ini ada peluang untuk mengenakan cukai durian runtuh terhadap keuntungan lumayan yang diperoleh oleh pemain industri tetapi itu juga ditolak oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sendiri,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!