Terima aduan, selesaikan bukan lengah-lengahkan

Keadaan Sungai Rambai di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan selepas hujan.
Keadaan Sungai Rambai di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan selepas hujan.
A
A
A

PENDEDAHAN Sinar Harian yang melaporkan Sungai Rambai di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan mengandungi DNA babi bukan hanya mengejutkan semua pihak, malah menimbulkan tanda tanya mengenai status sungai lain di Malaysia.

Pendedahan tersebut adalah kisah benar yang berlaku di dalam negara, sekali gus membuktikan kelompangan penguatkuasaan di semua peringkat yang harus diperbaiki secara total.

Tidak adil untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya masyarakat juga perlu tampil membuat laporan agar aktiviti tersebut dibanteras sepenuhnya.

Sebaliknya, jika laporan dibuat berkali-kali tetapi tiada tindakan yang diambil, keadaan itu amat mengecewakan.

Siasatan dalaman atau jawatankuasa perlu ditubuhkan, kaji kenapa masalah berlaku dan paling penting, atasilah segera.

Janganlah memberikan alasan stereotaip – “Kakitangan kami tidak mencukupi untuk memantau keseluruhan kawasan tuan” atau “Kami juga ada kerja lain.”

Namun, kepada penjawat awam yang amanah dan mengambil tanggungjawab yang diberikan, terima kasih diucapkan.

Kisah DNA babi dalam sungai mungkin salah satu daripada kisah-kisah alam sekitar dan penguatkuasaan yang dapat dibongkar, mungkin ada lagi banyak kes yang kita terlepas pandang.

Artikel Berkaitan:

Di sinilah kesedaran, kepekaan dan keprihatinan rakyat Malaysia diperlukan untuk bersama-sama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa, sekali gus dapat membantu menumpaskan ‘lanun-lanun alam sekitar’ daripada terus merompak dan memusnahkan bumi kita.

Seperkara lagi yang perlu diberikan perhatian oleh pihak berkuasa sama ada pihak berkuasa tempatan (PBT), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau Jabatan Kerja Raya (JKR) adalah masalah jalan berlubang sana sini.

Apabila terima aduan, teruslah bertindak melainkan masalah itu terlalu besar dan melibatkan kos yang tinggi.

Teringat kisah seorang menteri tergolek ketika berbasikal di sebuah negeri, masalah jalan berlubang terus selesai.

Disebabkan yang tergolek adalah figura terkenal, maka sekelip mata tindakan pantas diambil. Jika kejadian sama menimpa rakyat jelata, kalau tidak melibatkan kematian, mungkin hanya dipandang sebelah mata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!