Inspirasi kisah dongeng dua kelab

Pemain JDT menjulang Piala FA selepas tamat perlawanan Final Piala FA, JDT menentang Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu lalu. - Foto Bernama
Pemain JDT menjulang Piala FA selepas tamat perlawanan Final Piala FA, JDT menentang Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu lalu. - Foto Bernama
A
A
A

MINGGU lalu rakyat Malaysia disajikan dengan warna-warni kejayaan dan cerita dongeng bola sepak.

Kelab Kuala Lumpur (KL) City FC melayari bahtera kejayaan di Kolkata, India, manakala Johor Darul Ta'zim (JDT) pula mengukir kemasyhuran di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Kedua-dua pasukan mengharungi perjalanan yang bukan mudah, penuh cabaran dan liku, namun memburu matlamat sama mahu meraih kejayaan gemilang.

Kejayaan bukan datang bergolek tetapi perlu disulam ilmu, strategi, nilai dan taktikal. Semua itu adalah proses, bukan boleh dicapai dalam satu malam seperti menggosok lampu Aladdin.

Jiwa perlu kental, minda pula tidak mudah koyak, berputus asa jauh sekali tetapi terus berusaha hingga misi tercapai.

Sabar, tenang dan fokus. Nikmati sahaja permainan dengan rasa seronok tanpa ada tekanan. Segala kekurangan dan kelemahan dibaiki, tekad lakukan yang terbaik, kejayaan akan menghampiri.

Sikap tidak berpuas hati dengan kejayaan, sebaliknya terus gigih dan tabah untuk meraih lebih banyak lagi kegemilangan di peringkat tempatan serta pentas antarabangsa.

“Saya mahu pemain tidak berpuas hati dengan kejayaan semasa dan terus bekerja keras untuk merealisasikan impian membolot semua kejuaraan Liga Malaysia,” ujar pengendali JDT, Hector Bidoglio.

Artikel Berkaitan:

Keyakinan tersebut dilontarkan jurulatih dari Argentina itu sejurus skuad Harimau Selatan merangkul trofi Piala FA selepas menewaskan Terengganu FC 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Selepas memenangi Piala Sultan Ahmad Shah (Sumbangsih) pada awal musim, Piala FA dalam genggaman, kelab milik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim masih dahagakan kejayaan.

Lakar sejarah

JDT ingin melakar sejarah baharu merangkul gelaran quadruple dengan impian menggapai dua lagi trofi, kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan yang hampir dalam tangan dan Piala Malaysia, bukan misi mustahil.

Kemasyhuran JDT juga boleh dinilai menerusi kejayaan merangkul 20 trofi dalam tempoh sembilan tahun sejak 2013 termasuk Piala AFC yang diraih pada 2015.

Di pentas antarabangsa, skuad Harimau Selatan berjaya meloloskan diri untuk berada dalam kelompok 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Kejayaan KL City yang dibimbing Bojan Hodak di pentas Asia adalah mengejutkan apabila mara ke final Antara Zon saingan AFC selepas menewaskan kelab India, ATK Mohun Bagan 3-1 pada aksi separuh akhir minggu lalu.

Jurulatih dari Crotia itu selesa merendah diri apabila menyifatkan tiada rahsia di sebalik kejayaan tersebut.

“Apa yang saya cakap kepada pasukan, mereka perlu beraksi dengan baik atau mereka akan menyesal di kemudian hari,” katanya.

Ia menyuntik semangat para pemain yang sabar dan tenang dengan percaturan dibuat Hodak untuk memerangkap pasukan lawan.

Skuad warga kota cuma perlu menunggu ruang tuan rumah terdedah untuk dimanfaatkan menerusi ledakan gol kapten, Paulo Josue, Fakrul Aiman Sidid dan Romel Morales.

“Jika anda bermain di tempat sendiri di depan peminat, anda mesti menyerang (seperti Mohun Bagan). Itu sebabnya tugas kami hanya perlu bersabar. Kami tahu lambat laun lawan akan membuka ruang untuk kami hasilkan gol. Memang inilah yang kami rancang.

“Ia sama seperti final Piala Malaysia sebelum ini. Kami fokus satu perlawanan ke perlawanan lain sehingga berjaya mara sejauh ini seperti kisah dongeng,” ujar Hodak yang menjulang KL City melakar kejutan memenangi Piala Malaysia edisi lalu setelah mengecewakan JDT 2-0.

Pengajaran kisah dongeng KL City dan kemasyhuran JDT itu boleh dipraktikkan dalam rutin harian.

Anda seorang pelajar tekun belajar, ibu bapa sabar melayan telatah anak-anak, pendidik yang sudah biasa dengan pelbagai rencam muridnya.

Usahawan berjaya yang sudah lali dengan jatuh bangun bisnes tanpa mengenal jemu terus berusaha hingga tergapai impian.

Pemimpin diduga dengan aneka cabaran untuk membangunkan negara. Kemiskinan rakyat, kemelut ekonomi, hubungan antarabangsa dan ragam rakan serta musuh politik. Namun, ia dihadapi dengan tenang dan bijaksana biarpun berdepan tekanan hebat.

Tinggalkan kekurangan di tepi, harungi apa sahaja di depan mata dengan ilmu, tenang dan sabar.

* Ahmad Syahir Kassim ialah wartawan Meja Sukan, Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!