Fama sasar nilai jualan RM3j
KUANTAN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM3 juta menerusi program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) pada tahun ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak berkata, sasaran terbabit membabitkan 400 program itu yang akan diadakan di seluruh negara.
Menurutnya, pelaksanaan JTDL akan dimanfaatkan kepada peserta yang membuat jualan secara terus kepada pengguna sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.
"Setakat ini, kita sudah mengadakan lebih 100 program jualan ini atau 20 peratus dari sasaran yang ditetapkan.
“Jadi pada tahun ini kita sasarkan 8,000 usahawan tani yang terlibat dalam program ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jelajah Promosi Jualan Terus Dari Ladang peringkat negeri di sebuah pusat beli-belah, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad berkata,program ini membolehkan pengguna membeli sayur-sayuran dan buah-buahan terus dari ladang yang segar dan berkualiti.
Katanya, pelaksanaan program ini juga dilihat mampu menawarkan harga yang lebih berpatutan kepada pengguna antara lima hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.
Sementara itu, Ahmad berkata, program jelajah promosi produk segar pertanian di bawah Program Ladang Kontrak diperluaskan lagi ke lapan pasar raya besar di seluruh negara.
"Ia bagi menyediakan 'outlet' pasaran alternatif kepada peserta ladang kontrak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!