Terlantar derita kanser pangkal hidung

Che Musa bergantung sepenuhnya kepada susu khas berharga RM75 setin.
Che Musa bergantung sepenuhnya kepada susu khas berharga RM75 setin.
A
A
A

MACHANG - Luluh hati seorang isteri melihat suaminya terlantar lemah sejak tiga bulan lalu akibat penyakit kanser pangkal hidung tahap empat.

Rusnani Mustapha, 65, berkata, suaminya, Che Musa Che Abdullah, 74, sudah menjalani 27 rawatan kemoterapi dan 35 rawatan radioterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian bagi mematikan sel kanser daripada terus merebak ke bahagian organ lain.

Menurutnya, kesihatan Che Musa kini semakin merosot dan sudah tidak mampu mengurus diri selain bergantung kepada bantuannya untuk bergerak.

"Penyakit suami saya disahkan pada awal Januari lalu selepas didiagnos dan kini keadaannya juga semakin kurus," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Berkongsi kisah Che Musa, Rusnani berkata, suaminya mula mengalami sakit pada bahagian leher pada Mei lalu tetapi ketika itu hanya menganggap lenguh biasa selepas penat bekerja.

Beberapa lama selepas itu katanya, mata kanan Che Musa mula tertutup selain pendengaran juga terganggu.

"Bimbang dengan keadaan itu, saya membawa suami ke Klinik Kesihatan Pulai Chondong tetapi dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

"Saya terkejut dan sedih apabila dimaklumkan dia menghidap kanser selepas didiagnos dan kemudian dirujuk ke Hospital USM bagi rawatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rusnani sentiasa mengambil berat penjagaan suaminya yang menderita penyakit kanser pangkal hidung di rumahnya di Kampung Jenereh Bongkok.
Rusnani sentiasa mengambil berat penjagaan suaminya yang menderita penyakit kanser pangkal hidung di rumahnya di Kampung Jenereh Bongkok.

Akibat penyakit itu, suaminya kini bergantung sepenuhnya kepada susu khas berharga RM75 setin yang mampu bertahan dua atau tiga hari sahaja.

Rusnani bersyukur kerana Che Musa menerima bantuan sebanyak RM250 sebulan yang dapat menampung kos keperluan suaminya iaitu RM1,000 sebulan termasuk lampin pakai buang.

"Alhamdulillah, sekurang-kurangnya dapat menampung mengurangkan beban perbelanjaan kami," katanya.

Tambah Rusnani, penggunaan lampin pakai buang memang banyak bagi mengelakkan masalah kulit.

Pasangan itu tidak dikurniakan zuriat selepas lebih 50 tahun berkahwin tetapi dan kini menumpang kasih dua anak angkat yang turut menjaga Che Musa.

Mereka yang mahu menghulurkan bantuan boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 03119-29-00001763-8 atas nama Rusnani Mustapha atau menghubungi anak angkatnya, Jasmadi Jafri di talian 014-2119037 untuk maklumat lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!