Khairuddin ajak Pemimpin Pas, UMNO baiki hubungan

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengajak pemimpin Pas dan UMNO kembali mengukuhkan hubungan sempena ulang tahun ketiga penubuhan Muafakat Nasional (MN) hari ini (Rabu).

Menerusi hantaran di Facebooknya pada malam Selasa, beliau menyeru bendera MN dikibarkan sempena ulang tahun gagasan itu yang diraikan pada Rabu.

"Gencatan senjata oleh ahli dan pimpinan dua parti Melayu Islam terbesar Malaysia. Bicara muafakat yang perlu seiring dengan tindakan.

"Kalau tidak mampu bersama setidaknya bersilaturrahim dan mengikat tali persaudaraan (ukhuwah) sebagai saudara muslim dan ahli politik muslim. Siapa yang nak raikan? " Katanya.

Sebelum ini, pada 6 September lalu, bekas Ahli Jawatankuasa Pas itu turut mengingatkan kembali mengenai sejarah penubuhan MN.

Katanya, suara akar umbi yang mahukan penyatuan UMNO dan Pas tidak wajar dipinggirkan.

"Suara mahukan kesatuan dan perpaduan antara Pas dan UMNO berkumandang di Muktamar Pas khususnya sebagai strategi untuk menang bersama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Itulah suara akar umbi dan ahli bawahan. Itulah permintaan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Melaka dan Johor.

Artikel Berkaitan:

"Namun ia agak terlewat di saat UMNO, BN telah buat keputusan untuk bergerak sendiri setelah pelbagai insiden serang menyerang antara pimpinan tertinggi yang berlaku sebelum ini. Malah jemputan ke Muktamar dan rundingan tanpa melibatkan Presiden UMNO juga menjadi isu, "katanya.

Khairuddin bagaimanapun menyifatkan, hubungan antara pemimpin dua parti itu masih boleh diperbaiki biarpun dilihat sudah terlewat.

"Meskipun begitu, eloklah terlewat daripada tiada langsung. Masih boleh diusahakan perundingan dengan cara politik matang dan harmoni. Usah mengalah kerana ia adalah hasrat ahli bawahan.

"Jaga tutur kata, elakkan prasangka dan bina jambatan kasih antara dua parti. Masih ada masa.

" Kepada yang cintakan muafakat ini, marilah kita kongsikan gambar serta logo nostalgia MN. Usah malu berkempen untuk muafakat umat, "katanya.

UMNO dan Pas memeterai piagam MN pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September 2019.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!