Tandukan Matip selamatkan Liverpool
PEMAIN sensasi, Joel Matip memberi 'nyawa' kepada Liverpool menerusi jaringan pada hujung perlawanan untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas Ajax pada aksi Kumpulan A Liga Juara-Juara.
Pada aksi di Anfield, Matip meledak gol penyelamat pada minit ke-89 untuk meraih kejayaan pertama selepas tewas aksi sulung 1-4 kepada Napoli.
Naib juara musim lalu itu tampil lebih meyakinkan di laman sendiri kali ini, tetapi terpaksa menunggu hingga ke minit terakhir untuk mendapatkan kemenangan.
Sebelum itu, jaringan pembukaan Liverpool menerusi Mohamed Salah diimbangi oleh gol Mohammed Kudus untuk Ajax.
Kemenangan itu meletakkan Liverpool pada tiga mata bersama Ajax dan Napoli, yang akan bertandang ke laman Rangers pada Rabu.
"Jika anda bandingkan dua perlawanan ini, saya rasa anda tidak akan sedar yang sebenarnya ia skuad yang sama," ujar pengendali The Reds, Jurgen Klopp.
Pemain Portugal, Diogo Jota yang menggantikan Darwin Nunez dalam kesebelasan utama, mengumpan bola untuk jaringan pertama Salah selepas empat perlawanan.
Namun kelekaan benteng Liverpool sekali lagi dihukum apabila pasukan lawan mendapat jaringan menerusi Kudus yang menyempurnakan hantaran lintang Steven Berghuis.
Matip memastikan kemenangan apabila dia menanduk masuk bola sepakan sudut Kostas Tsimikas pada minit terakhir permainan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!