Rizab margin air Selangor meningkat
KUALA LUMPUR - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berjaya menaikkan rizab margin air kepada lebih 13 peratus tahun lepas berbanding tiga peratus yang dicatatkan pada 2015.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman berkata, peningkatan tersebut seiring pelan 30 tahun Air Selangor untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di Asia menjelang 2030.
“Pencapaian ini juga disebabkan pembangunan tiga loji rawatan air (LRA) sepanjang lima tahun tahun ini iaitu LRA Semenyih 2, LRA Labohan Dagang dan LRA Langat 2,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran 'Coffee Table Book' di pusat beli-belah One Utama yang disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Hadir sama, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Mansor Othman.
Dalam pada itu, Suhaimi berkata, sehingga hujung tahun lalu, Air Selangor menggantikan 556 kilometer (km) jajaran paip manakala baki 260km sedang dilaksana bagi memastikan pengguna mendapat bekalan air bersih dan selamat.
“Ini hasil penganugerahan lebih RM4 bilion dari Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kepada kami sebagai pemegang tunggal penyedia perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Dalam masa sama, 53 kolam takungan air dan rumah pam dinaik taraf sementara 11 lagi sedang dibaik pulih. Kadar purata air tidak berhasil (NRW) juga pada tahap 28 peratus tahun lalu berbanding 32.2 peratus pada 2016,” katanya.
Tambahnya, selain LRA Semenyih 2, LRS Labohan Dagang dan LRA Langat 2, usaha meningkatkan rizab air turut dilaksanakan menerusi pembinaan LRA Sungai Rasau yang dijangka siap pada 2025.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!