Terengganu siasat video tular pesta arak di Pulau Perhentian

Ariffin. (Gambar kanan) Status yang dimuat naik seorang pengguna di laman sosial Facebook pada Selasa.
Ariffin. (Gambar kanan) Status yang dimuat naik seorang pengguna di laman sosial Facebook pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu sedang menyiasat dan akan mengambil tindakan susulan berhubung video tular memaparkan tarian dan pesta arak yang didakwa berlaku di Pulau Perhentian.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, video berkenaan telah dirujuk kepada pihak berwajib termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

"Maklumat ini saya baru terima dan kita akan semak dahulu kesahihan video berkenaan.

"Ada yang mengatakan ia video lama dan ada yang kata video baharu. Kami sedang siasat untuk dapatkan pengesahan bila ia berlaku dan akan ada tindakan susulan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Menurut Ariffin, tiada sebarang permit dikeluarkan terhadap aktiviti sedemikian malah pihak berkuasa sentiasa memantau aktiviti tidak bermoral di Pulau Perhentian.

"Pemantauan sentiasa dilakukan. Bukan sekali dua, banyak kali kita buat pemantauan dan tindakan juga pernah diambil berhubung kegiatan seumpama itu.

"Tetapi itulah.. kadang kala kita khuatir juga mereka pandai sorok kegiatan itu. Bila penguat kuasa datang tak ada siapa berani beri maklumat dan kerjasama," katanya.

Pada malam Selasa, seorang pemilik akaun Facebook memuat naik video yang memaparkan sekumpulan individu berpesta dan menari yang didakwa berlaku pada 10 September lalu di sebuah lokasi di Pulau Perhentian.

Bagaimanapun, hasil carian video berkenaan mendapati ia telah dipadam pada pagi Rabu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!