[VIDEO] Dua maut nahas libat enam kenderaan

A
A
A

MUAR - [DIKEMAS KINI] Dua lelaki termasuk seorang anggota polis maut dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan di Kilometer 134.7 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan, Pagoh dekat sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan pada jam 4.45 pagi itu melibatkan sebuah kereta Proton Wira, dua lori jenis Hino warna kuning dan putih, sebuah bas, sebuah lori jenis UD dan sebuah treler jenis Scania.

Menurutnya, pemandu kereta Proton Wira yang merupakan anggota polis, Sarjan Senawi Jelani, 55, yang bertugas di trafik Kuala Lumpur dan beralamat di Jalan Singgahsana 8, Felda Maokil, Labis maut.

"Semasa kejadian anggota polis berkenaan sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Yong Peng.

"Seorang lagi mangsa yang maut ialah pemandu lori Hino, K Gunalan, 45, yang beralamat di Jalan Shah Bandaraya, Bukit Kemuning Klang.

"Kedua-dua mangsa yang cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Beliau berkata, pemandu treler, Ahmad Al- Bashir Ismail, 28, yang beralamat di Shah Alam, Selangor cedera dan kini dirawat di zon kecemasan di hospital.

"Pemandu lori Hino putih, Zamri Hashim, 41; pemandu bas, Harun Din, 62, dan pemandu lori jenis UD, Mustafa Labiding, 35, tidak cedera," katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa lori Hino kuning dari arah Klang sedang menghala ke Johor Bharu.

"Sampai di tempat kejadian di jalan lurus, tiba-tiba Proton Wira berkenaan keluar dari susur Kawasan Rehat dan Rawat Rehat (RNR) Pagoh, arah selatan.

Artikel Berkaitan:

"Kemudian berlaku perlanggaran antara kedua-dua kenderaan tersebut di antara susur keluar RNR itu. Selepas perlanggaran tersebut, treler, dua lori Hino dan lori UD dari arah belakang melanggar dua kenderaan itu," katanya.

Raiz Mukhliz menambah, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan II Ramli Abd Rahman berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada jam 4.48 pagi.

Susulan itu katanya, seramai 16 anggota dari BBP Pagoh dan BBP Bukit Gambir dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kemalangan tersebut melibatkan Proton Wira dan lori kontena dan treler yang masing-masing membawa muatan air kotak, besi dan kayu palet," katanya dalam kenyataan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!