Maritim tahan dua pekerja sangkar ikan
GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua pekerja sangkar ikan tanpa pengenalan diri, pada malam Selasa.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, penahanan dilakukan dalam pemeriksaan rutin anggota penguat kuasa bot ronda melalui Op Pertiwi ke atas bot sangkar ikan di kedudukan 0.18 batu nautika selatan Pulau Jerejak lebih kurang jam 9.15 malam.
Menurutnya, seorang daripada pekerja sangkar ikan itu merupakan warga Nepal berusia 31 tahun manakala lagi seorang warga tempatan berusia 40 tahun.
"Pekerja Sangkar warga Nepal terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri ketika pemeriksaan dilakukan.
"Kedua-dua yang ditahan itu dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Rabu.
Abd Razak berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 melanggar syarat sah Lesen Kultur Laut iaitu tidak menggunakan 100 peratus pekerja warganegara kecuali dengan kelulusan Pengarah Perikanan Malaysia dan warganegara asing bekerja di tempat yang bukan tertera pada permit kerja bot.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan kepada semua terutama pemilik sangkar ikan agar tidak sesekali menggaji warga asing tanpa kebenaran.
"Maritim tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pemilik sangkar ikan gagal mematuhi undang-undang sedia ada," katanya.
Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!