Dengar suara akar umbi sebelum terima Muda

Akmal Nasrullah Mohd Nasir
Akmal Nasrullah Mohd Nasir
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majis Presiden Pakatan Harapan (PH) perlu menilai prinsip dan kejujuran Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebelum diterima sebagai salah satu parti komponen dalam gabungan itu.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sama ada diterima atau tidak, pandangan akar umbi khususnya di peringkat cabang parti perlu diambil kira pucuk pimpinan sebelum membuat keputusan.

Ahli Parlimen Johor Bahru ini turut membangkitkan hasrat Muda mahu menyertai PH menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlaku pelanggaran kerusi antara PKR dan Muda di kerusi Dewan Undangan Negeri ( DUN) Larkin.

"Dari segi kejujuran politik dan semangat mengangkat isu rakyat cukup penting, bukan soal hendak berdepan PRU15 sahaja. Sepatutnya hasrat itu ditunjukkan sebelum pilihan raya lagi.

Cabang Johor Bahru, berpandangan kenapa sekarang baru seolah-olah minat hendak sertai PH. Bagi kami isunya bukan hendak masuk PRU tetapi prinsip perjuangan itu perlu jauh lebih mendalam.

"Cuma akar umbi di Johor khususnya di johor bahru, kami tidak payah cakap, sudah terang lagi bersuluh. Kita menempuh pelbagai kesusahan, pilihan raya bukan seminggu dua punya kerja," katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.

Menurut Akmal, keputusan berkaitan parti yang mahu menyertai PH perlu mencapai konsensus atau persetujuan daripada parti kompenan lain.

Katanya, berdasarkan pengalaman lalu, PH pernah menerima dan menolak kemasukan parti baru dalam gabungan ini, selepas penilaian dan konsesus PH dicapai di peringkat Majlis Presiden PH.

Artikel Berkaitan:

"Cuma bagi saya kita juga faham perkara ini perlu melalui proses. Walaupun pandangan itu bagi saya ketara (menolak) terutama dikalangan akar umbi dan anak muda tetapi proses di peringkat Majlis Presiden PH perlu dihormati.

"Oleh sebab itu dalam beberapa prinsip akan diambil kira Majlis Presiden PH sebelum membuat sebarang pertimbangan. Isu ini bukan soal PKR bukan soal anak muda PKR tetapi PH secara keseluruhan," katanya.

Pada 6 September lalu, Muda sebulat suara bersetuju untuk menyertai PH sebagai salah satu parti komponen dalam gabungan itu.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya terbuka untuk mengadakan perbincangan secara rasmi dengan Majlis Presiden PH berhubung perkara itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!