Pertemuan rasmi MN sedang diusahakan: Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri (tengah) bersama wakil penerima pada majlis penyerahan wang tunggakan imam, bilal masjid dan mukim di Wisma Darul Iman pada Rabu.
Ahmad Samsuri (tengah) bersama wakil penerima pada majlis penyerahan wang tunggakan imam, bilal masjid dan mukim di Wisma Darul Iman pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pertemuan rasmi dalam kalangan kepimpinan Muafakat Nasional (MN) sedang diusahakan bagi menyuburkan kembali hubungan antara dua parti besar Melayu iaitu Pas dan UMNO yang bersatu dalam satu gagasan sebelum ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pertemuan itu merupakan langkah untuk berbincang dan mencari jalan kembali kepada titik asal penubuhan gagasan itu.

"Hubungan di peringkat peribadi dengan kepimpinan parti yang berbeza ini sedang berjalan, tinggal lagi pertemuan secara rasmi. Itu sedang kita usahakan.

"Kita tengoklah macam mana. Kita harap masing-masing boleh merendahkan ego untuk duduk dan bekerja ke arah mencari titik pertemuan perkara yang dipersetujui sebelum ini," katanya ketika sidang akhbar selepas majlis penyerahan wang tunggakan imam, bilal masjid dan mukim di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.

Perkara itu dinyatakan Ahmad Samsuri ketika diminta mengulas pandangan sempena ulang tahun bersejarah antara Pas dan UMNO yang telah memasuki tahun ketiga penubuhan gagasan MN pada hari ini.

Jelas beliau, Pas sentiasa berusaha untuk mencapai perpaduan menyeluruh dalam kalangan masyarakat terutama melibatkan kepimpinan parti Melayu Islam.

"Apa yang saya ingin sebutkan di sini adalah juga pendirian parti Pas. Kita sentiasa berusaha tanpa henti, tanpa penat lelah untuk mencapai perpaduan yang menyeluruh dalam masyarakat kita setelah sekian lama kita melihat masyarakat Melayu dalam negara kita mempunyai pandangan parti yang berbeza-beza.

"Kita tidak nafikan itu adalah hak dalam perlembagaan tetapi berseteru sehingga menimbulkan ketidasefahaman dalam kalangan masyarakat kita di peringkat bawah adalah merugikan orang Melayu Islam sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itulah, sementara ruang ada dan muafakat itu kita telah bentuk tiga tahun lalu dan ditambah dengan muafakat di peringkat Perikatan Nasional (PN), sudah tentu kita tidak ingin mensia-siakan peluang yang ada untuk kita menyatu padukan keseluruhan orang Islam, orang Melayu yang ada dalam negara kita," katanya.

Ahmad Samsuri menegaskan, penyatuan itu adalah jalan terbaik bagi mendepani cabaran dunia yang semakin hebat pada masa akan datang.

Justeru, katanya, usaha mempertahankan MN akan diteruskan dan langkah mencari jalan untuk duduk dan berbincang dalam kalangan dua parti itu wajar dilakukan pada masa ini.

"Jika duduk bincang perkara yang berbeza, sampai bila pun kita tak boleh nak selesai masalah kerana masing-masing dengan hujah dan perbahasan.

"Tetapi, kalau kita bincang titik pertemuan kita dahulu, titik kerjasama yang pernah berlaku dahulu, saya yakin ia boleh dilakukan kerana setiap daripada kita sama ada parti besar atau kecil hendaklah merendahkan ego masing-masing dan melihat objektif yg lebih besar demi keharmonian dalam masyarakat kita. Itu adalah lebih baik," tegas beliau.

Hubungan antara MN dilihat semakin hambar berikutan beberapa isu besar yang melibatkan perbezaan pandangan antara pemimpin utama kedua parti itu.

Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan dikeluarkan mewakili kedua-dua parti itu, mereka dilihat masih tetap dengan pendirian bahawa MN masih bernafas dan jalinan yang dimeterai sebelum ini masih boleh diselamatkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!