Raja Muda Selangor beri penghormatan akhir buat Ratu Elizabeth II
SHAH ALAM - Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur pada Selasa bagi memberi penghormatan terakhir di atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.
Perkara tersebut dimaklumkan menerusi satu hantaran di Facebook Selangor Royal Office pada Rabu.
Menurut hantaran berkenaan, baginda menzahirkan penghormatannya dengan menandatangani buku takziah sambil disaksikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, H E Charles Hay.
"Bagi pihak keluarga beta, Sultan Selangor dan seluruh rakyat Selangor, beta menzahirkan ucapan takziah atas kemangkatan Ratu Elizabeth II kepada ahli keluarga dan seluruh rakyat British," titahnya.
Pada Jumaat lalu, Ratu Elizabeth II, monarki paling lama memerintah dalam sejarah British, mangkat pada usia 96 tahun, menurut pengumuman Istana Buckingham.
Anak sulung baginda, Charles akan menggantikannya sebagai raja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!