Autisme catat bilangan tertinggi di Selangor
SHAH ALAM - Autisme dicatatkan angka tertinggi di negeri ini.
Exco Kesihatan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, setakat ini seramai 20,000 individu berdaftar sebagai autisme.
"Sebenarnya daripada hasil kajian yang dijalankan, angka itu lebih lagi dan dijangka ramai lagi yang tidak berdaftar.
"Jadi kita ingin memberikan kesedaran khususnya kepada ibu bapa yang mana anak mereka mengalami autisme, daftarlah segera anak mereka," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir merasmikan Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women) Bertemakan Hari Autisme dan Hari Tibi Peringkat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bertempat di Dataran Petaling Jaya hari ini.
Katanya mereka yang mengalami autisme ini, fizikalnya normal sama seperti anak-anak lain.
"Ramai yang salah tanggap terhadap mereka yang mengalami autisme ini, ada yang kata kurang didikan daripada ibu bapa, ia bukan soal itu.
"Ia melibatkan gangguan saraf pada anak-anak itu yang mana menjadikan seseorang itu istimewa tidak seperti anak-anak lain," katanya.
Menurutnya penting bagi masyarakat mengetahui dan memahami mengenai autisme ini.
"Lantaran itu kerajaan memperkenalkan pelbagai program yang mana memberikan kefahaman kepada masyarakat mengenai autisme ini.
"Secara langsung ia memberikan pendedahan bukan sahaja kepada mereka yang mempunyai anak autisme malahan mereka yang tidak mempunyai anak autisme turut sama menerima pemahaman mengenai keadaan sebenar autisme ini," katanya.
Turut hadir sama dalam majlis ini adalah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Datuk Mohd Sayuthi Bakar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!