Rakan Kongsi Pengurusan Negara Grant Thornton didakwa pecah amanah
KUALA LUMPUR - Rakan Kongsi Pengurusan Negara Grant Thornton Malaysia, Datuk C R Narendrakumar didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu atas lapan pertuduhan pecah amanah wang deposit berjumlah RM2.38 juta milik sebuah syarikat pengurusan pelaburan.
Narendrakumar, 72, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan di hadapan Hakim, M Bakri Abd Majid manakala tiga pertuduhan di hadapan Datin Sabariah Othman.
Mengikut kesemua pertuduhan itu, Narendrakumar sebagai ejen iaitu pengurus dan penerima di syarikat Sabah Forest Industries Sdn Bhd didakwa telah melakukan pecah amanah wang deposit berjumlah RM2,383,370.31 milik syarikat Pelangi Prestasi Sdn Bhd dalam akaun CIMB, yang telah diamanahkan kepadanya.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, antara 6 Disember 2019 hingga 18 September 2020.
Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan maksimum 20 tahun dan dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Semasa pendakwaan bagi lima pertuduhan, Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Zulaaikha Mohd Apandi tidak mencadangkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, beliau memohon jaminan RM200,000 bagi kesemua pertuduhan itu dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
TPR Lim Chooi Yi yang mengendalikan pendakwaan bagi tiga lagi pertuduhan itu juga tidak mencadangkan jaminan atas alasan sama.
Peguam, AG Kalidas yang mewakili Narendrakumar memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin dengan jaminan rendah.
"Anak guam saya adalah pengasas bersama Grant Thornton, yang merupakan syarikat audit serta perunding guaman yang mempunyai beribu-ribu pekerja. Anak guam saya juga mengalami masalah kesihatan iaitu jantung dan sakit belakang selain tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri,” kata peguam itu.
Bakri membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan dua penjamin bagi kelima-lima pertuduhan manakala Sabariah membenarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin untuk ketiga-tiga pertuduhan.
Kedua-dua mahkamah memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan 14 Oktober ini untuk sebutan semula kes. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!