Keluarga mohon bantuan kesan anak perempuan hilang
MACHANG - Sebuah keluarga di sini memohon bantuan orang ramai untuk mencari anak perempuan mereka berusia 14 tahun yang dikhuatiri hilang pada Ahad lalu.
Ibunya, Zainon Harun@Junoh, 40, berkata, anak kedua daripada empat beradik itu disedari hilang sekitar jam 5 petang selepas didakwa dibawa oleh dua lelaki yang tidak dikenali.
Menurutnya, Nur Aqilah Saufi yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Sri Intan, Kampung Pek sebelum itu dilihat berjalan dengan dua lelaki yang dipercayai bukan orang Kelantan berdasarkan dialek percakapan.
"Semasa keluar dia memakai baju berwarna kuning, seluar dan tudung berwarna hitam serta membawa beg galas.
"Kami sudah membuat laporan pada Isnin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang dan sekarang ini pelbagai ikhtiar yang dilakukan untuk mencari Nur Aqilah," katanya kepada Sinar Harian.
Dia berkata, sebelum ini Nur Aqilah tidak pernah keluar jauh dari rumah seorang diri melainkan berteman.
Zainon berkata, dia percaya anaknya berubah kerana dipengaruhi seseorang yang dikenalinya melalui internet.
Katanya, orang ramai yang menjumpai anak perempuannya itu dapat menghubungi talian 016-6973705 atau balai polis berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!