Kontena Tuntung usaha pemuliharaan tuntung laut

Sophia (kiri) bersama jemputan melihat maklumat mengenai tuntung laut yang terdapat dalam Kontena Tuntung selepas ia dirasmikan pada Rabu.
Sophia (kiri) bersama jemputan melihat maklumat mengenai tuntung laut yang terdapat dalam Kontena Tuntung selepas ia dirasmikan pada Rabu.
A
A
A

SETIU - Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia melancarkan Kontena Tuntung pertama dalam negara di Kampung Mangkuk, di sini sebagai usaha memulihara tuntung laut yang diancam kepupusan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) WWF-Malaysia, Sophia Lim berkata, Kontena Tuntung yang akan dilengkapi pelbagai maklumat mengenai haiwan tersebut bakal beroperasi secara rasmi pada awal tahun depan.

Menurutnya, berkonsepkan 'one-stop centre', bangunan kontena ini merangkumi pusat penetasan dan galeri yang mengumpulkan maklumat berkaitan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan tuntung laut dan Setiu Wetlands bagi kegunaan komuniti tempatan serta orang awam.

Usaha konservasi WWF-Malaysia di Terengganu, salah satunya di Setiu Wetlands bermula sejak tahun 1980-an dengan peringkat awal hanya tertumpu kepada projek pemuliharaan penyu hijau dan tuntung laut.

"Kini, skop kerja konservasi WWF-Malaysia turut meliputi usaha pemerkasaan komuniti setempat, kajian saintifik dan pemantauan guna tanah serta advokasi ke arah pengurusan dan perlindungan yang lebih holistik ke atas kawasan tanah bencah, lembangan sungai dan hutan di Setiu Wetlands," katanya pada Majlis Perasmian Kontena Tuntung di sini pada Rabu.

Program yang disempurnakan Pegawai Daerah Setiu, Ahmad Rizal Mamat itu turut dihadiri CEO CIMB Islamic Bank (CIMB Islamic), Ahmad Shahriman Mohd Shariff.

Kontena Tuntung dilaksanakan melalui kerjasama antara WWF-Malaysia dan CIMB Islamic melibatkan pembiayaan sebanyak RM3 juta bagi tempoh tiga tahun bermula 2019 dengan tumpuan diberikan kepada pengurusan mampan dan holistik Setiu Wetlands serta kawasan tadahannya.

Tuntung laut atau nama saintifiknya Batagur borneoensis merupakan spesis dikategorikan sebagai sangat terancam di bawah Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).

Artikel Berkaitan:

Sophia berkata, WWF-Malaysia menghargai sumbangan diberikan CIMB Islamic kerana ia penting dalam melaksanakan usaha melindungi spesis tuntung laut yang berdepan ancaman kepupusan sekiranya tiada tindakan sewajarnya diambil.

"Pelbagai aktiviti termasuk kajian penyelidikan telah dirancang bagi membangunkan data asas tuntung laut untuk kegunaan rujukan pada masa akan datang, oleh itu kita harap semua pihak dapat menyokong usaha memulihara spesis ini bagi menjamin ekosistem yang seimbang," katanya.

Sementara itu Ahmad Shahriman berkata, penubuhan Kontena Tuntung dan usaha pemuliharaan Setiu Wetlands diharap dapat diteruskan bagi memastikan kelangsungan hidup tuntung laut serta flora dan fauna lain di kawasan tersebut demi manfaat generasi akan datang.

"Sebagai sebuah institusi korporat, CIMB Islamic akan terus menyokong program-program yang memberi impak positif kepada masyarakat termasuk pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar," katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!